KUALA LUMPUR: Penyanyi Kaka Azraff, 34, kini hamil anak ketiga dan usia kandungan sudah mencecah enam bulan.
Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia bakal menimang cahaya mata lelaki pada Jun depan.
"Ya, saya hamil anak ketiga. Sekarang, usia kandungan sudah masuk enam bulan.
"Sememangnya ramai tidak sedar saya hamil sebab muka dan berat badan tak naik, malah saya agak penat mengendalikan anak kedua yang masih kecil.
"Agak penat anak pertama dan kedua masih bermanja dengan saya, jadi saya sempat makan apa sahaja yang ada," katanya kepada BH Online.
Pada awalnya, Kaka mahu membuat pengumuman sedang berbadan dua ketika menjayakan persembahan pembukaan Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), namun memutuskan tidak meneruskannya.
Tetap tampil bertenaga atas pentas AJL 37 menyanyikan lagu nyanyian asal Ella iaitu Nuri, Kaka berkata, dia bersyukur dapat menjayakan persembahan dengan baik walaupun dalam keadaan berbadan dua.
"Disebabkan kehamilan ketiga, jadi saya tidak terlalu layankan. Orang sekeliling sering ingatkan saya jangan terlalu lincah.
"Kalau ikutkan saya alami alahan teruk juga di awal kehamilan, tetapi saya pernah hamil dua kali, jadi sudah tahu bagaimana mahu menanganinya.
"Alhamdulillah, saya dapat menjayakan persembahan dengan baik," katanya.
Kaka berkata, dia masih menerima undangan persembahan walaupun berbadan dua.
Mengulas harapan dikurniakan cahaya mata perempuan, pelantun lagu Gila itu berserah ketentuan jantina anak dikandung kepada Allah dan terima sahaja kurniaan.
"Harapan mahukan anak perempuan ada sejak hamil anak kedua lagi. Tetapi, bila tahu hamil anak lelaki lagi, saya sudah tidak kisah dan reda. Saya terima, malah gembira dikelilingi anak lelaki, rasa seperti saya adalah ratu," katanya.
Kaka mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Adam Azriff pada 14 Disember 2018. Hasil perkahwinan, Kaka dan Adam dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Aslan, 4, dan Aryan, setahun.