KUALA LUMPUR: Lagu Terus Hidup ciptaan dan nyanyian Aina Abdul serta Satu Malam Di Temasek kolaborasi SonaOne dan Joe Flizzow bersaing rapat dalam merebut gelaran juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37).
Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail, berkata dari segi melodi, kekuatan dilihat pada lagu Terus Hidup manakala dalam aspek kreativiti, lagu Satu Malam Di Temasek lebih menonjol.
Namun, Mokhzani menjelaskan, Terus Hidup diangkat juara apabila Aina memenangi kategori Vokal Terbaik yang memberi kelebihan berganda baginya merangkul trofi idaman komposer itu.
"Daripada 12 lagu dipertandingkan, tujuh lagu dalam genre pop balada iaitu dendangan dinyanyikan Aina, Marsha Milan, Khai Bahar, Naim Daniel dan beberapa karya lagi.
"Dua lagu lain pula dalam kategori hip hop, iaitu lagu Satu Malam Di Temasek dan Payung Pelangi.
"Kita juga menilai dua lagu etnik kontemporari iaitu lagu nyanyian Shiha Zikir dan Iman Troye dengan sebuah lagu rentak R&B dendangan Alif Satar & The Locos.
"Pada malam ini (kelmarin), kita lihat dua lagu yang sangat dekat jurang pemarkahan, iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek," katanya pada sidang media selepas AJL 37 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin.
Mokhzani berkata, apabila pemarkahan dibuat dari segi melodi, kelebihan dilihat pada lagu Terus Hidup, manakala kreativiti pada Satu Malam Di Temasek.
"Namun, kedua-dua lagu ada kekuatan pada lirik dan vokal. Namun, kami lihat kekuatan vokal dalam dua medium, iaitu vokal dalam album dan di pentas. Apabila Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, ia menjadi antara faktor yang mengangkat Terus Hidup sebagai juara dengan kelebihan dua markah berbanding Satu Malam Di Temasek," katanya.
Selain Mokhzani yang menjadi ketua juri, karya ditandingi pada AJL 37 dinilai panel Datuk Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian.
Berikutan itu, Mokhzani berkata, juri tidak ragu-ragu mengangkat Terus Hidup sebagai juara berikutan persembahan Aina mempunyai kelebihan dan berbeza daripada apa yang didengar dalam rakaman asal single terbabit.
"Aina membawa persembahan secara langsung malam ini lebih daripada apa yang disampaikan dalam rakaman asal. Garapan yang dibuat melalui susunan muzik oleh Jenny Chin bukan mudah.
"Kalau kita kaji pada akhir lagu ada susunan yang boleh menjerat penyanyi, namun, Aina melaksanakan dan menyampaikan bahagian itu dengan bersahaja.
"Jadi, kami sebulat suara angkat Aina menjadi juara, namun, enggan menidakkan kekuatan lagu Satu Malam Di Temasek yang bersifat luar biasa," katanya.
Tambah Mokhzani, antara lagu yang turut mendapat markah paling hampir adalah Korban nyanyian Ernie dan Kembali Terang (Marsha) yang masing-masing meraih tempat keempat.
Mengenai kejayaan Aina meraih trofi Vokal Terbaik, Mokhzani berkata, Terus Hidup bukan sahaja memiliki kelebihan gubahan, melodi dan lirik, malah, penyampaian Aina dalam aspek ekspresi dan penghayatan, menonjol. Jadi, agak sukar mencari kepincangan dalam persembahannya.
Bagaimanapun, Mokhzani berkata, Aina tidak menang mudah berikutan pesaingnya, Ernie dan Marsha masing-masing menyampaikan lagu dengan baik.
"Kita nilaikan Vokal Terbaik menerusi lagu. Misalnya, Ernie, mungkin dia boleh buat lebih lagi, tetapi karyanya tidak dapat menonjolkan keseluruhan kekuatan vokal.
"Ernie menyanyi dengan bagus, tetapi kalau mahu dibandingkan dengan lagu didendangkan Aina, Terus Hidup ada kelebihan.
"Begitu juga Marsha yang kami nilai persembahannya bagus. Cuma Marsha terlalu banyak menjerit hingga boleh memerangkap dirinya. Tetapi saya tidak nafikan, Marsha penyanyi yang baik.
"Cuma dalam kaedah kami membuat penjurian, kami lihat Aina penyanyi terbaik dengan gubahan lagu yang dibuat, Aina dapat laksanakan dengan baik hingga mengatasi Ernie dan Marsha," katanya.
Mengulas mengenai kejayaan Shiha Zikir sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik, Mokhzani berkata, aksi secara keseluruhan penyanyi Irama itu digarap baik.
"Kami tidak nafikan persembahan Mainan nyanyian Naim sebagai bijaksana. Begitu juga persembahan Satu Malam Di Temasek.
"Tapi kita lihat secara keseluruhan iaitu dari segi corak persembahan, barisan juri sebulat suara mengangkat Shiha sebagai juara dalam persembahan.
"Sebenarnya, kategori Persembahan Terbaik juga menjuruskan ke arah vokal. Apabila kita menyanyi dalam keadaan terbalik, memang agak sukar untuk kita kawal vokal.
"Namun, saya tidak nafikan persembahan Naim menarik. Namun, akhirnya, markah keseluruhan persembahan berpihak kepada Shiha," katanya.
Mokhzani berkata, semua juri sudah diberi tugas untuk mendengar dan mendalami semua lagu dipertandingkan, seminggu sebelum acara berlangsung.
Bagaimanapun, pemarkahan hanya dibuat pada malam AJL 37 berlangsung.
"Apa yang dalam album, tidak sama dengan apa yang dipersembahkan. Kalau mahu diikutkan, semua orang boleh menyanyi dalam album.
"Jadi, kami diberikan lagu lebih awal untuk didengar dan dikaji, bukan untuk terus membuat keputusan dan memberi markah.
"Misalnya, saya buat catatan dalam bentuk nota, malah hafal semua lagu. Jadi, kami tidak memberi markah awal, semuanya (keputusan) hanya berlaku malam ini (kelmarin)," katanya.