KUALA LUMPUR: Persembahan 'berani mati' penyanyi Naim Daniel dalam keadaan terbalik dan tergantung menerusi lagu Mainan pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) sudah dirancang lebih awal.
Penerbit AJL 37, Jamil Hassan berkata, pihaknya sudah merancang setiap corak persembahan barisan finalis lebih awal, termasuk Naim.
Jamil berkata, produksi TV3 sangat mengagumi keberanian Naim kerana tidak ramai sanggup menanggung risiko melakukan persembahan dalam keadaan tergantung dan terbalik.
"Produksi sudah membuat persediaan dan perancangan terlebih dahulu dalam setiap persembahan finalis. Berkenaan persembahan Naim, produksi beberapa menekankan dan bertanya pada Naim sama ada betulkah mahu buat kerja gila sedemikian.
"Naim mahu buat dan memberikan contoh video muzik. Bila turun padang di bengkel ketika 'props' disediakan, Naim cuba menggantungkan diri, jadi kami catat masa berapa lama boleh menyanyi sambil tergantung dan terbalik.
"Nyata, Naim seorang yang hebat kerana berani melakukannya," katanya kepada BH Online.
Tambah Jamil, corak persembahan Naim antara paling sukar untuk direalisasikan, lebih lagi, belum pernah dibawa sepanjang penganjuran AJL.
"Ya, kalau dilihat pada permulaan persembahan, kami sengaja memaparkan Naim sedang berdiri tegak. Selepas Naim menyampai baris kedua atau ketiga lagu Mainan, baru kami kejutkan penonton di rumah Naim sedang menyanyi dalam keadaan terbalik.
"Hanya penonton dalam dewan tahu Naim berada dalam keadaan tergantung dan terbalik. Jadi, ia adalah elemen kejutan yang cuba diberikan kepada penonton.
"Dan kejutan ini berhasil. Persembahan Naim juga trending di laman Twitter," katanya.
Mengulas adakah persembahan Naim wajar dipilih memenangi kategori Persembahan Terbaik, Ketua Juri, Datuk Mokhzani berkata Naim berada di tangga tertinggi, tetapi dari segi keseluruhan, persembahan Shiha Zikir menerusi lagu Irama lebih baik.
"Kami tidak nafikan persembahan lagu Mainan bijaksana dan begitu juga persembahan lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow.
"Tetapi, secara keseluruhan dari segi corak persembahan, barisan juri sebulat suara memilih Shiha.
"Sebenarnya kategori Persembahan Terbaik juga menjuruskan ke arah vokal. Apabila menyanyi dalam keadaan terbalik, memang agak sukar untuk kawalan vokal, tetapi saya tidak menafikan persembahan Naim menarik.
"Namun, markah keseluruhan persembahan berpihak pada Shiha," katanya.