KUALA LUMPUR: Penyanyi Aina Abdul menyifatkan kemenangan berganda menerusi Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) sebagai satu doa ibunya yang dimakbulkan.
Menerusi AJL 37 yang berlangsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi, Aina diangkat sebagai juara AJL 37 dan pemenang kategori Vokal Terbaik.
"Saya memang meletakkan harapan untuk Terus Hidup dan saya mahu merasakan kemenangan ini.
"Alhamdulillah, ini juga berkat doa berkat ibu yang menonton dari rumah. Kemenangan ini juga buat arwah bapa dan peminat setia yang menyokong saya sejak dari program realiti, Mentor," katanya kepada BH Online.
Selain itu, Aina menyampaikan lagu Terus Hidup ciptaannya sepenuhnya menewaskan dua pesaing terdekat, Marsha Milan dan Ernie Zakri.
Pernah dua kali memenangi kategori Vokal Terbaik, Aina berkata, kemenangan itu rezeki yang berpihak kepadanya.
"Saya tidak boleh nak cakap kalahkan mereka, tetapi ini adalah rezeki. Marsha dan Ernie terlebih dahulu berada industri muzik, persembahan mereka saya tonton di kaca televisyen dan kaji semuanya.
"Saya juga adalah peminat Ernie, Marsha, Liza Hanim dan Shila Amzah. Jadi, ini bukanlah istilah kalah atau menang, tetapi ia lebih kepada rezeki," katanya kepada BH Online.
Aina membawa pulang wang tunai RM100,000 diangkat sebagai juara AJL 37, manakala RM12,000 berjaya menggondol trofi Vokal Terbaik.
Persembahan 12 finalis diadili barisan juri profesional iaitu Datuk Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY, Damian serta Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.
Sementara itu, pelantun lagu Irama, Shiha Zikir berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik menerusi persembahan lampu neon elektronik, malam tadi.
Persembahan Shiha mengalahkan Naim Daniel yang menyampaikan lagu Mainan dalam keadaan terbalik dan tergantung.
Mokhzani berkata, kemenangan Shiha berbanding Naim berikutan keseluruhan persembahan menepati penjurian.
"Menerusi trofi Persembahan Terbaik, Shiha menerima markah paling tinggi, tetapi ia tidak menidakkan Naim juga yang tidak kalah dari segi persembahan. Begitu persembahan lagu Satu Malam Di Temasek oleh SonaOne dan Joe Flizzow.
"Namun, kami menilai dari keseluruhan corak persembahan dan sebulat suara memilih Shiha bagi trofi Persembahan Terbaik," katanya.
Bagi kategori Persembahan Terbaik, Shiha menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.