KUALA LUMPUR: "Ini persembahan paling 'gila' dan berani mati' yang pernah saya lakukan."
Begitu huraian finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Naim Daniel mengenai konsep persembahan pada kemuncak acara anugerah berprestij itu yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, mulai jam 9 malam ini.
Naim atau nama sebenar, Naim Daniel Baharin, 25, yang mempertaruhkan lagu Mainan, memberitahu, sebagai anak seni yang ingin melakar lebih banyak kejayaan, dia perlu berani mengambil risiko.
Bagaimanapun, Naim mengaku apa sahaja tindakannya di atas pentas perlu dilakukan dengan berjaga-jaga.
"Apa yang saya cuba lakukan kali ini adalah untuk mendapatkan kepuasan. Ini kerana, AJL adalah pentas di mana pengkarya, komposer dan penyanyi cuba untuk tonjolkan karya mereka dengan lebih nyata.
"Malah, AJL ini adalah malam di mana artis dapat bercerita mengenai lagu mereka dengan lebih terperinci kepada penonton.
"Walaupun lagu Mainan ini saya jarang nyanyikan secara langsung, tapi saya akan manfaatkan persembahan pada malam ini supaya penonton dapat menerokainya dengan lebih mendalam.
"Saya suka untuk visualkan apa sahaja kisah disebalik lagu di atas pentas supaya penonton boleh dapat merasainya dengan lebih dekat," katanya kepada BH Online.
Mengulas lanjut, pemenang AJL 34 pada 2020 menerusi lagu Sumpah itu berkata, apa yang dilakukan adalah untuk membuka lembaran baharu dalam penganjuran AJL.
"Elemen dalam persembahan saya kali ini boleh dikatakan tidak pernah dibawa sepanjang penganjuran AJL.
"Ini kerana, saya cuba untuk melahirkan pelbagai jenis konsep dan lembaran baharu dalam AJL.
"Semua orang bebas berkarya dan itulah apa yang ingin saya lakukan. Saya mahu tolak diri untuk buat lebih lagi.
"Saya berharap apa yang dirancang dapat dipersembahkan dengan baik dan lancar pada malam ini," katanya.