Isnin, 6 Februari 2023 | 8:30am
Sejak mengalami masalah kesihatan beberapa bulan lalu, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, terpaksa menolak undangan membuat persembahan hingga pendapatannya terjejas. Foto Ihsan Ibnor Riza
Sejak mengalami masalah kesihatan beberapa bulan lalu, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, terpaksa menolak undangan membuat persembahan hingga pendapatannya terjejas. Foto Ihsan Ibnor Riza

Hilang suara, Ibnor rindu menyanyi

KUALA LUMPUR : Penyanyi Ibnor Riza, 62, yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 15 Januari lalu kerana menghidap 'Vocal Cord Palsy' mengaku rindu untuk menyanyi semula.

Bagaimanapun, dengan penyakit yang membuatkan dirinya sukar bercakap selain bengkak leher, Ibnor hanya mampu berdoa agar segera pulih.

"Abang memang rindu hendak menyanyi tetapi dalam keadaan sekarang, macam inilah.

Ibnor cukup menghargai jasa dan sumbangan dihulurkan teman artis, persatuan seni, keluarga dan individu sejak kesihatannya terjejas. Foto Ihsan Ibnor Riza
Ibnor cukup menghargai jasa dan sumbangan dihulurkan teman artis, persatuan seni, keluarga dan individu sejak kesihatannya terjejas. Foto Ihsan Ibnor Riza

"Abang pun tidak tahu selama mana abang duduk dalam wad ini. Semoga Allah beri abang peluang untuk kembali menyanyi ," luahnya kepada BH Online.

Berkongsi keadaan terkini, penyanyi yang meledak dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran berkata, dia baru menjalani ujian biopsi ke atas penyakitnya itu.

"Saya masih tunggu keputusan ujian biopsi. Doktor beritahu keputusan hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Melalui ujian itu, doktor ambil sampel dari bahagian leher. Doktor cakap penyakit saya ini agak jarang berlaku.

"Setakat ini, tekanan darah saya sudah stabil. Kandungan gula dalam darah juga pada paras normal.

"Cuma suara saya sahaja yang belum pulih. Hendak bercakap pun tidak boleh keluarkan suara," katanya.

Mengulas keprihatinan rakan artis dan persatuan seni termasuk Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) diketuai Datuk DJ Dave yang menziarahinya, baru-baru ini, Ibnor cukup menghargai jasa dan sumbangan dihulurkan.

"Abang sangat hargai keprihatinan Dave dan YKAT. Kehadiran mereka membuatkan abang rasa lebih bersemangat untuk sembuh.

"Terima kasih juga kepada Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dan pengerusinya, Kismah Johar.

"Tidak lupa adik beradik, rakan seperjuangan, sahabat handai dan peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan," katanya.

Sejak mengalami masalah kesihatan beberapa bulan lalu, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini terpaksa menolak undangan membuat persembahan hingga pendapatannya terjejas.

Berita Harian X