Ahad, 5 Februari 2023 | 8:30am
Shasha (lima dari kiri) bersama pelakon dan tenaga kreatif filem Harum Malam pada sesi tayangan perdana di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Arnie Shasha
Shasha (lima dari kiri) bersama pelakon dan tenaga kreatif filem Harum Malam pada sesi tayangan perdana di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Arnie Shasha

Arnie Shasha tumpu peluang ke Sukan SEA 2023

KUALA LUMPUR : Bakat baharu, Arnie Shasha, 18, menafikan menggunakan ibu, Datuk Rosmarayu Mokhtar yang juga pengasas, D'Ayu Pictures Sdn Bhd, sebagai laluan pantas bergelar pelakon.

Shasha atau nama sebenar, Ismar Arnie Shasha Ismail mendakwa perlu mengikuti sesi uji bakat sebelum diterima berlakon dalam filem terbitan syarikat ibu, Harum Malam yang diarah Dain Said.

"Uji bakat yang dikendalikan memang susah. Selain itu, saya juga ikuti kelas lakonan bersama Cikgu Hazlin.

"Ibu berpesan agar saya beri yang terbaik dan jangan sombong. Alhamdulillah, saya terima sokongan keluarga.

"Ini kali pertama saya berlakon dan tidak pernah terima kritikan. Jadi, pastinya saya harapkan komen yang baik-baik," katanya kepada BH Online.

Bertanya sama ada akan tampil dengan filem lain, Shasha berkata, buat masa sekarang dia mahu fokus kepada sukan taekwondo.

Shasha aktif dalam sukan taekwondo sejak berusia 10 tahun. Foto IG Arnie Shasha
Shasha aktif dalam sukan taekwondo sejak berusia 10 tahun. Foto IG Arnie Shasha

"Saya dalam sesi latihan untuk melayakkan diri ke Sukan SEA 2023. Ini kali pertama saya sertai kejohanan sukan ini melalui taekwondo.

"Saya terbabit dengan taekwondo sejak usia 10 tahun lagi. Jadi, saya sedang berusaha untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2023.

"Insya-Allah saya akan bertarung bulan ini untuk ketahui peluang saya. Jadi, jika ditanya antara berlakon atau sukan, saya pilih bidang sukan," katanya.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam filem Harum Malam, Shasha bersyukur lakonan sulungnya sebagai Ah Boy mendapat reaksi positif pelakon senior pada sesi tayangan media filem berkenaan di sini, baru-baru ini.

"Saya tidak nafikan bukan mudah menjayakan filem ini kerana saya 'introvert' terutama apabila diminta melakukan adegan yang agak ganas seperti kena rasuk.

"Ketika penggambaran ada sedikit perasaan tidak selesa sebab baju saya basah dengan darah dan saya kena telan darah," katanya yang berlatih sebulan sebagai persediaan menghayati karakter.

Sasha mengaku mengambil masa untuk selesa dengan persekitaran di set penggambaran dan pelakon 'senior'.

"Mujur dapat sokongan pengarah dan pelakon lain. Dain banyak membimbing saya," katanya sambil menambah sikap mementingkan kesempurnaan sangat membantunya untuk beraksi sebaik mungkin.

Selain Shasha, Harum Malm dibintangi Idan Aedan, Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein.

Filem yang mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 9 Februari ini diterbitkan Apparat dengan kerjasama D'Ayu Pictures dan Skop Productions Sdn Bhd.

Harum Malam berkisar pergelutan hidup Iqbal lakonan Idan yang juga pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar.

Keupayaan luar biasa itu membuatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman alam ghaib.

Berita Harian X