Jumaat, 3 Februari 2023 | 11:00am
Syed Zainal (dua kiri duduk), Habib Ali Zaenal Abidin, Syah dan Syed Abdul Kadir bergambar bersama artis antaranya Syed Syah Iqmal, Hana, Irma, Heliza dan Hazwani pada majlis pelancaran The Journey of Humankind dan siri animasi Nabi Musa AS Kalimullah di KompleksFINAS, Hulu Klang, semalam. - NSTP/Aziah Azmee
Syed Zainal (dua kiri duduk), Habib Ali Zaenal Abidin, Syah dan Syed Abdul Kadir bergambar bersama artis antaranya Syed Syah Iqmal, Hana, Irma, Heliza dan Hazwani pada majlis pelancaran The Journey of Humankind dan siri animasi Nabi Musa AS Kalimullah di KompleksFINAS, Hulu Klang, semalam. - NSTP/Aziah Azmee

Nurflix saji lebih 5,000 judul hiburan sopan

KUALA LUMPUR: Nurflix mengumumkan projek kerjasama dengan penerbit dari Arab Saudi, Mesir, Turki, Palestin dan Indonesia untuk menyajikan lebih 5,000 judul dalam platform penstriman televisyen (TV) dalam talian dengan kandungan Islamik itu.

Projek itu adalah sebahagian visi Nurflix untuk menjadi pusat kandungan ilmu Islam Ahli Sunah Wal Jamaah dan hiburan sopan yang boleh dicapai di seluruh dunia.

Pengerusi Nurflix, Tan Sri Syed Zainal Syed Mohd Tahir, berkata projek kerjasama dengan penerbit luar negara menjadi ikhtiar syarikat berdepan kekangan menghasilkan kandungan sendiri.

"Sudah hampir dua tahun setengah Nurflix dibangunkan iaitu sejak pelancarannya pada Julai 2020.

"Sejak itu, syarikat tidak terkecuali melalui keadaan yang mencabar apabila pandemik COVID-19 melanda dunia.

"Sungguhpun kami ada membuat persiapan, namun berikutan kekangan seperti masa dan kewangan membuatkan usaha kami agak terbantut dalam aspek penghasilan kandungan.

"Namun, biarpun berdepan cabaran, kami cekal dan kekal dalam memastikan visi menyediakan kandungan yang memberi manfaat pada orang lain.

"Jadi, apabila kami tidak mampu menghasilkan kandungan sendiri, kami ikhtiar.

"Melalui kolaborasi ini, semua kandungan dihasilkan penerbit negara terbabit diterjemah dalam bahasa Melayu," katanya pada majlis pelancaran siri animasi The Journey of Humankind dan siri Nabi Musa AS Kalimullah di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, baru-baru ini,

Syed Zainal berkata, Nurflix menawarkan kepelbagaian kandungan untuk kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa yang sudah ditapis.

"Tahun ini, antara kandungan istimewa adalah siri animasi The Journey of Humankind dan siri Nabi Musa AS Kalimullah yang ditayangkan setiap minggu sejak 27 Januari lalu," katanya.

Antara barisan pelakon yang menyumbangkan suara untuk siri animasi The Journey of Humankind dan siri Nabi Musa AS Kalimullah. - NSTP/Aziah Azmee
Antara barisan pelakon yang menyumbangkan suara untuk siri animasi The Journey of Humankind dan siri Nabi Musa AS Kalimullah. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas lanjut mengenai siri animasi The Journey of Humankind dan siri Nabi Musa AS Kalimullah, Ketua Pegawai Eskekutif Nurflix, Syah Mohamed, berkata projek itu adalah usaha sama Nurfix Productions Sdn Bhd dengan syarikat penerbit animasi dari Mesir.

"The Journey of Humankind memaparkan secara menyeluruh kisah ketamadunan manusia sejak Nabi Adam berdasarkan rujukan daripada al-Quran, hadis dan sumber Islam yang sahih.

"Kisah ini disampaikan daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan sudah ditafsir ulama sejak ribuan tahun dahulu.

"Jadi, kami fokuskan penyampaian kepada generasi hari ini dengan pendekatan terkini," katanya.

Syah berkata, sasaran syarikat adalah untuk menyampaikan penceritaan dalam animasi tiga dimensi (3D) menggunakan teknologi Unreal Engine dan pelakon virtual.

Tambah Syah, penerbitan animasi itu dianggap langkah besar untuk menguasai teknologi penerbitan virtual selain membuka ruang penerokaan teknologi dan kepakaran baharu kepada bakat tempatan dalam menghasilkan karya bertaraf dunia.

Syah berkata, siri animasi Nabi Musa AS Kalimullah memaparkan kisah 25 Rasul berdasarkan rujukan utama Kitab Qisas Al Anbiya karya Ibnu Katsir.

"Sebanyak 13 episod untuk musim pertama diterbitkan menggunakan bahasa Melayu agar dapat memenuhi kehendak pasaran tempatan.

"Ini dapat memberi kefahaman jalan cerita yang jelas serta sesuai untuk ditonton semua peringkat umur," katanya.

Syah berharap siri animasi yang dijayakan pelakon suara seperti Datin Seri Heliza Helmi, Dai Syed, Hana Ismail, Irma Hasmie dan Hazwani Helmi itu dapat menarik lebih ramai penonton melanggani Nurflix.

"Kandungan kami memang sedikit kalau hendak dibandingkan dengan platform penstriman lain.

"Jadi, kami perlukan sokongan ramai. Syukur, ramai artis yang membantu.

"Kalau hendak diikutkan bayaran sebenar, mungkin kami tidak mampu. Tetapi artis bantu kami merealisasikan kandungan untuk manfaat generasi akan datang," katanya.

Syah bersyukur pelanggan Nurflix mula menunjukkan peningkatan selaras usaha yang konsisten dalam menyajikan kandungan baharu.

Selain itu, Nurflix bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membolehkan penerbitan koleksi penyelidikan ilmiah seperti al-Quran dan sains, penyelidikan produk halal dan banyak lagi.

Berita Harian X