Jumaat, 3 Februari 2023 | 8:30am
Saujana tidak pernah mengadakan konsert berskala besar sejak ditubuhkan.
Saujana tidak pernah mengadakan konsert berskala besar sejak ditubuhkan.

Saujana rai 25 tahun dalam konsert

KUALA LUMPUR: Pertemuan pada Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 disusuli majlis alumni di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) yang menjadi lokasi tertubuhnya kumpulan nasyid Saujana, membuakkan semangat tujuh sahabat mementaskan konsert meraikan ulang tahun ke-25 kumpulan itu.

Enggan bertangguh lagi, tujuh anggota Saujana iaitu Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali, Wan Najran Wan Noh, Dr Khairul Idzwan, Mohammad Suffian Amrin dan Azalinor Abd Rahman sepakat menganjurkan Konsert Saujana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.

Lebih menarik, konsert yang menggabungkan lagu ketuhanan yang disuntik elemen irama tradisional itu bakal diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dipimpin Yazid Zakaria.

Mengulas lanjut konsert itu, Mohammad Suffian berkata, pada mulanya mereka bercadang mengadakan persembahan berskala kecil seperti majlis minum petang.

Namun, hikmah pandemik COVID-19 dan persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah mencetuskan idea menganjurkan konsert berkenaan.

"Sudah lama kami berhasrat mementaskan konsert kerana sejak mula bertapak dalam industri seni, Saujana tidak pernah mengadakan konsert berskala besar.

"Kesibukan kerjaya hakiki menjadi salah satu faktor yang menghalang niat itu.

"Namun, selepas menjayakan program alumni di sekolah, keinginan untuk mengadakan konsert kembali terbit," katanya.

Hikmah pandemik COVID-19 dan persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah mencetuskan idea menganjurkan Konsert Saujana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.
Hikmah pandemik COVID-19 dan persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah mencetuskan idea menganjurkan Konsert Saujana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.

Mohammad Suffian berkata, anggota Saujana akan memanfaatkan tempoh sebulan sebelum konsert untuk mempromosikan acara itu dalam media sosial.

"Risau itu tentu ada, namun kami cuba berfikiran positif. Disebabkan kapasiti Zepp Kuala Lumpur, lebih 1,000 penonton, kami optimis dapat menarik peminat.

"Setiap ahli gigih menggunakan platform media sosial masing-masing untuk membuat promosi.

"Kebanyakan peminat kami sudah berkeluarga. Jadi, kami harap mereka bawa famili masing-masing," katanya.

Seorang lagi anggota Saujana, Dr Khairul Idzwan berkata, mereka banyak berinteraksi dalam platform digital bagi berbincang mengenai konsert disebabkan komitmen masing-masing.

"Dari segi persiapan, nampak gayanya agak suntuk untuk latihan dan sebagainya.

"Namun, Alhamdulillah, kita ada platform panggilan video, media sosial dan sebagainya.

"Semua ini membantu anggota Saujan untuk berkomunikasi. Namun, apabila perlu, kami akan berjumpa," katanya.

Konsert Saujana 25 Tahun turut menampilkan artis undangan iaitu Ustaz Nazrey Johani, kumpulan Awla (gabungan Saujana dan NowSeeheart), Andika serta Ustaz Nabil.

Tiket berharga antara RM109 hingga RM265 boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.com.my.

Berita Harian X