KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Yura Yunita yang sudah sedekad berada dalam dunia nyanyian memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi konsert solo pertamanya.
Wanita kelahiran Bandung itu menganggap pemilihan Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama konsertnya sebagai ketentuan Tuhan.
"Sebetulnya, saya merancang untuk ke Kuala Lumpur, dua tahun lalu tetapi akibat pandemik COVID-19 hasrat ini tertangguh.
"Akhirnya impian terlaksana dan secara kebetulan, saya baru meluncurkan single baharu berjudul Jalan Pulang dan meraikan ulang tahun ke-10 dalam dunia nyanyian, jadi mahu rai di sini.
"Selepas pulang dari Kuala Lumpur barulah saya akan ke kota Indonesia lain. Mungkin destinasi terakhir di kota kelahiran, Bandung sesuai dengan judul single Jalan Pulang," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Pertunjukan Tutur Batin Live Concert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam ini.
Bakal mendendangkan 17 lagu malam ini, bekas peserta program The Voice itu menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya.
Penyanyi berusia 31 tahun ini juga memberitahu, konsert malam ini akan menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai anak seni, malah wanita dan isteri.
"Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama peminat menerusi karya.
"Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat sentiasa berjuang.
"Setiap kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cuma, saya diberi kelebihan untuk berkongsi melalui lagu-lagu ciptaan saya yang akan dipersembahkan kepada peminat di Malaysia," kata anak didik kepada Glen Fredly yang cukup popular menerusi lagu puitis seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia dan Tutur Batin.