KUALA LUMPUR: Pengasas Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam terkilan beberapa babak dalam filem Harum Malam terbitan syarikat itu terpaksa dikaburkan termasuk dialog 'disenyapkan' bagi memenuhi klasifikasi P13 Lembaga Penapis Filem (LPF).
Yusof berkata, syarikat reda terpaksa menayangkan Harum Malam dalam versi yang diubah suai mengikut syarat LPF, namun berharap badan itu lebih terbuka dalam menilai filem pada era digital.
"Jika hendak diikutkan penerbit, kami memang mahu Harum Malam diklasifikasikan P13 kerana ramai yang boleh menonton. Kalau diklasifikasikan P18, kami boleh hilang audiens. Jadi, penerbit filem tempatan rata-rata mahu klasifikasi P13 agar tidak mengganggu kutipan.
"Namun, dalam mencapai klasifikasi itu, saya terkilan banyak dialog yang mengikut perkiraan saya tidak semestinya 'disenyapkan', namun terpaksa berbuat demikian (disunting ikut kehendak LPF).
"Dialog yang digunakan (dalam filem Harum Malam) tidaklah terlalu keras dan sensitif," katanya pada majlis malam gala filem Harum Malam di Petaling Jaya, Isnin lalu.
Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023, berkuat kuasa semalam, yang ditambah baik mengikut keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran tempatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata klasifikasi filem yang diperkenalkan Lembaga Penapis Filem (LPF) sejak 2012 ditambah baik berteraskan tiga prinsip utama selepas mengambil kira pandangan positif penggiat industri kreatif.
Harum Malam yang dibintangi Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Joey Daud, Idan Aedan, Amanda Ang, Faizal Hussein dan Nabila Huda mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 9 Februari ini.
Filem seram terbitan bersama Skop Productions, Apparat dan D'Ayu Pictures berkisar pergelutan hidup Iqbal lakonan Idan yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar.
Keupayaan luar biasa Iqbal yang juga pelatih perubatan tradisional membuatkan remaja itu sering diganggu makhluk halus dan ancaman daripada alam ghaib.
Yusof berharap LPF bersikap lebih terbuka dalam melakukan tapisan naskhah tempatan agar relevan dengan peredaran zaman.
"Zaman sekarang ini kita boleh tengok macam-macam kandungan, misalnya melalui platform penstriman, Netflix.
"Jadi, kenapa kita mahu bodohkan penonton dengan kaedah penapisan begini?
"Ini adalah kritikan terbuka dari saya kepada LPF. Kita perlukan perubahan dalam banyak hal. Sebelum ini, saya pernah suarakan kepada LPF. Harapnya, orang yang duduk di LPF bukalah minda.
"Jangan ada pemikiran lama sebab ini bukan tahun 1960-an atau 1970-an, kita sudah masuk era dunia digital," katanya
Sementara itu, pengarah Harum Malam, Dain Said berkata, 14 babak terpaksa dikaburkan dengan dialog 'disenyapkan' bagi memenuhi klasifikasi P13.
"Pada mulanya, 17 babak dipotong LPF. Tetapi selepas berbincang untuk mendapatkan rating P13, kami perlu 'senyapkan' dan menyunting 14 babak jadi kabur. Kita setuju daripada LPF potong babak terbabit.
"Saya bukan hendak cakap keras (lantang), tetapi apabila kita bercakap soal tapisan, sudah tentu, kami sebagai penggiat filem bertanggungjawab terhadap setiap karya dihasilkan.
"Kami bukan suka-suka hendak buat sesuatu yang memberi nilai kejutan. Kalau dengar dialog terbabit, semuanya berkait rapat dengan kehidupan hari ini serta perjalanan filem itu hingga ke akhirnya," katanya.