Rabu, 1 Februari 2023 | 6:00pm
Adam sangat rindukan anaknya, Ivy Herra tetapi sanggup menunggu keputusan mahkamah. - Foto IG Adam Shahz
Adam sangat rindukan anaknya, Ivy Herra tetapi sanggup menunggu keputusan mahkamah. - Foto IG Adam Shahz

Hubungan bapa, anak perempuan takkan putus sampai mati - Adam

KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Shahz enggan mengulas tindakan suami kepada bekas isterinya yang juga pelakon Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang yang menyindirnya, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Aliff memuat naik satu petikan pendek tergantung di dinding ketika di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

"Gunakan akal anda seolah-olah nyawa anda bergantung kepadanya," kata tulisan itu sambil mengalihkan kamera ke arah Adam yang sedang sibuk melihat telefon bimbit di tempat menunggu.

Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, dia hanya mengetahui mengenai tindakan Aliff selepas pulang daripada mahkamah.

"Saya tak tahu menahu mengenai tindakannya. Saya dapat tahu selepas ada orang hantar tangkap layar selepas saya keluar mahkamah.

"Tak perlulah saya komen apa-apa, lebih baik mendiamkan diri. Saya tahu setiap orang ada pendapat dan penilaian sendiri, tetapi saya tak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya kepada BH Online.

Mengulas adakah menyimpan perasaan marah, Adam berkata, dia sudah lali dengan perkara sedemikian.

"Saya sudah biasa, lima tahun saya 'hadap' benda ini, jadi saya rasa tiada apapun," katanya.

Mengulas perkembangan perbicaraan berhubung kes hak penjagaan anak, iaitu Ivy Herra Sophia, 7, Adam berkata, mereka akan kembali ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 28 Februari ini.

"Kami menjalani perbicaraan pertama pada 28 Februari ini. Tempoh hari adalah majlis sulh di mana melihat sama ada kami perlu ke mahkamah atau tidak.

"Bila tidak mencapai kesepakatan, jadi diteruskan ke mahkamah bagi hak penjagaan atau hak lawatan anak.

"Sebelum ini, kami tidak pernah menetapkan hak penjagaan. Siapa lapang, boleh jaga anak," katanya.

Adam kini sedang berehat bagi memberi fokus kepada Emporium Cafe yang dibuka di Kompleks Campbell sejak 1 Januari lalu. - NSTP/Fatin Farhana Ariffin
Adam kini sedang berehat bagi memberi fokus kepada Emporium Cafe yang dibuka di Kompleks Campbell sejak 1 Januari lalu. - NSTP/Fatin Farhana Ariffin

Berikutan itu, Adam mengakui, dia sudah tiga bulan tidak berjumpa mahupun berhubung dengan anaknya.

"Orang bercinta pun rindu, apatah lagi, anak. Memang saya sangat rindukan anak, tetapi tak mengapa, kita tunggu keputusan mahkamah.

"Ini bukan harapan saya sahaja, tetapi juga bapa-bapa tunggal. Apabila berlaku perceraian, kita kena ingat walau apapun, itulah ibu dan bapa. Hubungan tidak akan putus sampailah mati, lebih lagi, hubungan anak perempuan dan bapanya.

"Saya tidaklah kata baik, tetapi kalau boleh, proses pembesaran anak dalam keadaan sihat," katanya.

Adam ditemui hadir memberi sokongan pada majlis tayangan media Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif, semalam.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Adam berkata, dia sedang berehat bagi memberi fokus pada pengurusan restoran yang baru dibuka.

"Saya baru buka Emporium Cafe di Kompleks Campbell sejak 1 Januari lalu. Cuma, majlis pelancaran belum dilakukan, sebaliknya saya mulakan sahaja operasi.

"Ada beberapa tawaran berlakon diterima, tetapi harganya kurang bersesuaian. Jadi, saya fokus pada perniagaan," katanya yang akan tampil dengan filem Sumpahan Syaitan pada Mac depan.

Terdahulu, perkahwinan Adam dan Fatin pada 2013 hanya mampu bertahan selama empat tahun, sebelum bercerai pada Mei 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Ivy Herra Sophia. Sebelum berkahwin dengan Adam, Fatin sudah memiliki cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10.

Berita Harian X