KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng bersyukur program jelajah amal, Solidariti Untuk Iskandar Spring di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, Ahad lalu, mengutip lebih RM3,000.
Ameng atau nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail, berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada insan yang sudi menghulurkan bantuan meringankan pemain gitar Spring, Iskandar yang menderita pelbagai penyakit kronik.
"Alhamdulillah, persembahan tiga jam berjaya mengutip hampir RM3,000.
"Itu hanyalah kutipan wang, pungutan melalui mekanisme lain seperti kod imbasan QR, belum dapat dipastikan jumlahnya.
"Sebelum persembahan, kami sudah terima RM3,000 daripada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Alhamdulillah, jika dicampurkan, jumlah keseluruhan RM6,000 sudah diserahkan kepada Iskandar. Kami dapat duit, terus diserahkan kepada Iskandar.
"Kami sasarkan kutipan ini adalah untuk perbelanjaan harian Iskandar yang memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan atau RM40,000 setahun," katanya kepada BH Online.
Ameng merakamkan penghargaan kepada sahabat yang hadir memeriahkan jelajah amal pertama itu, semalam.
"Tidak disangka ramai sahabat yang hadir buat persembahan seperti Nizam Laksamana dan Aris Ariwatan. Jadi, semalam agak kelam kabut sikit sebab ramai yang sertai program ini.
"Kami cuba agihkan artis untuk siri jelajah seterusnya. Sebab kita ada tiga jam sahaja, takut, apabila ramai sangat, ada yang tidak sempat buat persembahan berikutan masa terhad.
"Insya-Allah, bulan depan kami akan pergi ke Pulau Pinang dan Terengganu disusuli Ipoh," katanya.
Sebelum ini, sahabat baik Iskandar, iaitu Ameng dan Umarul dari kumpulan Iklim bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggerakkan program jelajah amal, Solidariti Untuk Iskandar Spring di seluruh negara.
Siri jelajah itu bertujuan mengutip dana RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang tahun buat Iskandar, di mana purata jumlah diperlukan setiap bulan adalah RM3,000.
Siri jelajah pertama menampilkan rakan artis seperti Umarul Iklim, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan dan Mus Kemala.
Turut serta Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dan Radhi Khalid sebagai hos.
Ameng berharap budaya saling membantu dapat diteruskan bagi meringankan beban artis memerlukan.
"Situasi seperti ini sudah lama terjadi, iaitu sejak dari zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi. Jika bergerak sendiri, mungkin kurang bantuan dihulurkan.
"Misalnya, kita sendiri hanya dapat beri RM100, tapi rakan artis kita perlu lebih dari itu. Jadi, kita sebagai artis kena bersatu membantu antara satu sama lain, apatah lagi, kita semua tiada pencen.
"Saya masih sihat dan berkemampuan. Jadi, saya tolong mana termampu dan beri kepada rakan kurang upaya.
"Saya berharap perkara ini dapat berterusan untuk generasi anak seni yang akan datang.
"Apabila ada kawan susah, kita buat persembahan dan beri sebahagian (hasil) yang kita dapat. Apabila kita bantu sesama kita, tiadalah orang bercakap pasal kita minta derma.
"Kita sebenarnya boleh bantu sesama kita tapi kita kena bersatu padu, jadi saya harap aktiviti amal seperti ini dapat dijadikan budaya," katanya.