Ahad, 29 Januari 2023 | 8:30am
Kaki Chacha terseliuh hingga sukar berjalan, namun, diketepikan kesakitan demi drama Special Force: Anarchy.
Kaki Chacha terseliuh hingga sukar berjalan, namun, diketepikan kesakitan demi drama Special Force: Anarchy.

Tak hirau sakit hingga nak pitam - Chacha

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Chacha Maembong, 27, tidak menghiraukan kecederaan dialami, malah terus fokus babak mencabar dalam drama aksi terbaharu, Special Force: Anarchy arahan Syafiq Yusof.

Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Rohani Ismail berkata, kakinya terseliuh hingga sukar mahu berjalan, namun, diketepikan kesakitan demi untuk drama berkenaan.

"Jujurnya, saya tahan sakit sehingga rasa hendak pitam ketika berlaku kecederaan. Apa yang saya lakukan dengan mengambil masa berehat seketika sebelum meneruskannya babak semula.

"Drama Special Force: Anarchy memiliki keunikan dan berbeza daripada drama aksi lain. Jadi, ia membuatkan saya bersemangat dan nekad meneruskan penggambaran sehingga penghujung biarpun bergelut dengan kecederaan.

"Saya membawa watak antagonis bernama Puteh dan berpasangan adik-beradik kepada Fify Azmi melakonkan watak Merah," katanya kepada BH Online.

Gadis kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, apa yang menarik, drama berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada babak aksi, malah turut diselitkan elemen kekeluargaan dan persahabatan.

"Dalam drama ini, Puteh dan Merah sangat rapat. Lebih menarik, drama ini juga ada babak komedi yang menjadikannya berbeza.

"Secara peribadi, saya sendiri menawarkan diri untuk menjayakan drama ini selepas sesi pembacaan skrip dan sinopsis.

"Saya mahu meletakkan diri sebagai pelakon yang akan menyumbang kepada kejayaan drama ini.

"Saya menjalani latihan sebelum membawa watak Puteh. Ia juga sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan kerana karya arahan Syafiq selalunya ada kejutan," katanya.

Tambah Chacha, mental kena kuat apabila membawa watak Puteh supaya dapat menjayakan babak aksi dengan baik.

"Disebabkan saya sudah terbiasa dengan babak aksi, jadi tiada masalah dan mampu melakukannya dengan baik.

"Bergandingan dengan Fify pula pengalaman berbeza. Saya dan Fify sudah lama saling mengenali. Biarpun ini gandingan kali pertama, ia tidak sukar untuk membina keserasian.

Chacha tidak iri hati kelebihan Fify melakukan babak aksi, malah bergabung membentuk pasukan kerja yang baik.
Chacha tidak iri hati kelebihan Fify melakukan babak aksi, malah bergabung membentuk pasukan kerja yang baik.

"Lebih menyeronokkan, Fify berbakat dan mempunyai pengalaman menjayakan babak aksi," katanya.

Adik kepada pelakon Emma Maembong itu berkata, drama Special Force: Anarchy juga boleh dijadikan bukti untuk melihat sejauh mana kemampuan artis wanita sebagai pelakon aksi.

"Sebelum ini, saya hanya dengar cerita Fify bagus dalam babak perlawanan, tetapi kali ini, saya dapat merasai sendiri pengalaman bergandingan dengannya.

"Saya tak iri hati dengan kemampuan Fify beraksi. Fify memiliki kelebihan tersendiri, begitu juga saya.

"Jadi, apabila bergabung semestinya kami ada cara sendiri dan akhirnya membentuk satu pasukan kerja yang baik," ujarnya.

Selain Chacha dan Fify, drama Special Force: Anarchy turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk M Nasir, Puteri Aishah, Hasnul Rahmat, Steve Yap, Anas Ridzuan, Yusuf Bahrin dan ramai lagi.

Drama bersiri yang padat dengan aksi dan penyiasatan terbitan Skop Productions itu disiarkan secara eksklusif dan boleh ditonton menerusi penstriman Disney+ Hotstar sejak 14 Januari lalu.

Berita Harian X