Sabtu, 28 Januari 2023 | 4:30pm
Muhammad Erdy Sofian berani membidas komen Mas Idayu dengan kata-kata pedas, malah mempersoalkan suara penyanyi itu.
Muhammad Erdy Sofian berani membidas komen Mas Idayu dengan kata-kata pedas, malah mempersoalkan suara penyanyi itu.

'Saya tergelak tengok video 'bidas' Mas Idayu tular'

KUALA LUMPUR: "Penerimaan setiap orang lain dan tiada masalah nak menegur cuma jangan ikut perasaan," kata eksekutif jualan kereta yang juga bekas peserta uji bakat Mentor Legend, Muhammad Erdy Sofian Edrus.

Muhammad Erdy Sofian, 30, memberi reaksi ketika diminta mengulas kritikan dilemparkan penyanyi dangdut, Mas Idayu terhadap Sissy Iman dan Naim Daniel dalam program nyanyian Famili Duo, Ahad lalu.

Biarpun tidak terbabit atau ada kaitan dengan program berkenaan, Muhammad Erdy Sofian turut terkena tempias kontroversi selepas video lamanya ketika menghadiri uji bakat Mentor Legend pada 2014 kembali tular.

Menerusi video itu, Muhammad Erdy Sofian dilihat berani membidas komen diberikan Mas Idayu terhadapnya dengan kata-kata pedas, malah mempersoalkan suara penyanyi berkenaan.

Muhammad Erdy ketika menyertai uji bakat program Mentor Legend pada 2014.
Muhammad Erdy ketika menyertai uji bakat program Mentor Legend pada 2014.

Muhammad Erdy Sofian bersuara selepas Mas Idayu yang menjadi juri uji bakat menafikan kebolehannya menyanyi.

"Ikutkan, saya tidak aktif dalam media sosial tetapi ada juga 'scroll' Facebook (FB) untuk baca berita terbaru jadi tahu serba sedikit mengenai kontroversi Sissy dan Naim dimarahi Mas Idayu.

"Apabila tengok video itu, saya tergelak sendiri kerana teringatkan pengalaman kira-kira sembilan tahun lalu dan terkejut apabila dipetik netizen.

"Tak tahu nak cakap macam mana cuma waktu itu, saya muda jadi jawab ikut emosi, tetapi ia spontan dan bukan dirancang.

"Ada orang mungkin boleh menangis dengar kritikan pedas, saya mungkin lain jadi penerimaan setiap orang berbeza," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perihal dirinya, Muhammad Erdy Sofian berkata, Mentor Legend adalah program pertama dan terakhir uji bakat nyanyian dihadiri.

"Selepas itu, tiada lagi. Saya juga tidak jumpa atau berhubung dengan Mas Idayu selepas uji bakat itu.

"Bagaimanapun, minat menyanyi masih ada sampai sekarang dan suka nyanyi tidak kisah lagu apa pun.

"Majikan juga tahu saya minat saya jadi akan minta saya buat persembahan apabila ada majlis seperti makan malam anjuran syarikat," katanya.

Terdahulu, Sissy yang bergabung dengan penyanyi dan pelakon, Naim dalam program Famili Duo menerima kritikan pedas Mas Idayu selepas mempersembahkan lagu Jampi nyanyian asal Hael Husaini dalam irama keroncong.

Rentetan kritikan itu, Sissy dilihat menangis di atas pentas.

Bagaimanapun, rata-rata netizen yang menyaksikan persembahan itu memberi komen positif dan beranggapan apa yang dipersembahkan satu kelainan kerana Sissy dan Naim bukan hanya menyanyi, tapi berlakon mengikut tema tugasan minggu keenam itu.

Bagaimanapun, ada juga netizen yang menyokong teguran Mas Idayu dengan mengatakan apa dikatakan penyanyi itu benar. - HM Online

Berita Harian X