KUALA LUMPUR: Penyanyi Ibnor Riza, 62, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap 'vocal cord palsy' mengakui rindu kembali menyanyi.
Bagaimanapun, dengan keadaan penyakit yang sukar membuatnya bercakap dan mengalami bengkak pada bahagian leher, Ibnor hanya mampu berdoa semoga segera pulih dan boleh kembali mencari rezeki.
"Saya memang rindu nak kembali menyanyi, tetapi dalam keadaan sekarang, macam inilah...
"Saya pun tidak tahu selama mana akan duduk dalam wad ini. Sudah dua minggu saya berada di HKL.
"Moga Allah memberi peluang kepada saya menyanyi semula," luahnya kepada BH Online.
Berkongsi keadaan terkininya, penyanyi yang meledak menerusi lagu Meneka Dalam Kesamaran itu berkata, dia baru sahaja menjalani ujian biopsi berhubung penyakitnya itu.
"Saya masih menunggu keputusan ujian biopsi dilakukan, semalam. Menurut doktor keputusan hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu akan datang.
"Menerusi ujian ini, doktor mengambil sampel daripada bahagian leher. Doktor beritahu, penyakit saya ini jarang berlaku.
"Setakat ini, tekanan darah sudah kembali stabil, kandungan gula dalam darah juga berada pada paras normal.
"Cuma, suara saya belum pulih. Nak bercakap pun tak boleh nak keluarkan suara," cerita penyanyi berkulit hitam manis ini.
Mengulas keprihatinan rakan artis dan persatuan seni termasuk Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) diketuai pengerusinya, Datuk DJ Dave yang datang menziarahinya, baru-baru ini, Ibnor amat menghargai setiap jasa dan sumbangan diberikan.
"Saya sangat menghargai keprihatinan DJ Dave dan YKAT dan kehadiran rakan-rakan membuatkan saya rasa lebih bersemangat untuk sembuh.
"Terima kasih juga Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) dan pengerusinya, Kismah Johar. Tak lupa juga buat adik-beradik, rakan seperjuangan, sahabat handai dan peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan," luahnya.
Sejak mengalami masalah kesihatan beberapa bulan lalu, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu terpaksa menolak undangan nyanyian dan secara tak langsung sumber pendapatannya terjejas.