Khamis, 26 Januari 2023 | 9:59pm
Dayang memuatkan single baharu bergenre pop klasik berjudul Rindu Menyapa ciptaan Aubrey dan lirik oleh Habsah dalam album Belagu II. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
Dayang memuatkan single baharu bergenre pop klasik berjudul Rindu Menyapa ciptaan Aubrey dan lirik oleh Habsah dalam album Belagu II. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

Rakaman album Belagu II rumit, penuh tekanan

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Dayang Nurfaizah, 42, lega apabila album Belagu II yang dibuka untuk pra tempahan sudah ditempah lebih 1,000 cetakan dalam tempoh dua minggu.

Belagu II menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra (BSO), Hungary, manakala susunan muzik daripada pengarah muzik, Aubrey Suwito.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, dia tidak memikirkan soal keuntungan, sebaliknya berhasrat mengeluarkan album Belagu II demi kepuasannya sebagai penyanyi lebih dua dekad dalam industri muzik, selain niatnya mahu memperkenalkan lagu Melayu klasik kepada generasi muda.

Begitupun, wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, meskipun hanya memuatkan sembilan trek lagu, namun proses menyiapkan album Belagu II bukan sesuatu yang mudah dan penuh tekanan.

"Proses menyiapkan album Belagu II cukup rumit. Ia bermula proses pemilihan lagu kerana kami ingin memastikan lagu dipilih sedap didengar dan sesuai dibawa dalam persembahan saya.

"Saya bukan penyanyi lagu asli, jadi saya dan Aubrey perlu memastikan bagaimana mempersembahkan lagu bergenre ini dengan cara saya tanpa merosakkan keaslian lagu asal.

"Tambahan pula, lagu asli ada etika untuk didendangkan, bukan boleh main langgar. Sebab itu saya hanya memuatkan sembilan lagu, tetapi kepenatan rakaman vokal yang mengambil masa selama dua bulan ibarat menjayakan satu konsert," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Belagu II, petang tadi.

Selain teruja berpeluang bekerjasama dengan BSO, album Belagu II turut memuatkan lagu baharu ciptaan Aubrey.

Lebih istimewa, lirik lagu bertemakan pop klasik berjudul Rindu Menyapa itu ditulis oleh penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan.

Dayang berkata, dia sudah mengimpikan dapat mendendangkan lagu sentuhan Habsah, tetapi tiada peluang bekerjasama.

Namun, katanya, dia tidak menyangka angan-angan untuk memiliki lagu bergenre pop klasik akhirnya menjadi kenyataan.

"Saya selalu berangan-angan memiliki lagu pop klasik, tetapi saya hendak pastikan lagu ini dihasilkan dengan sepenuh jiwa. Saya tidak mahu dibuat ala kadar, tetapi tak sangka peluang datang secara tiba-tiba.

"Ketika mula mendengar lagu Rindu Menyapa di studio, saya tertarik kerana ia seakan kena dengan album ini.

"Saya juga bertuah kerana tidak pernah menyanyikan lagu tulisan Habsah. Walaupun kami tidak bertemu, tetapi Habsah seolah-olah dapat menyelami perjalanan dan kesusahan kami menyiapkan album Belagu II ini.

"Disebabkan itu, kami meletakkan lagu Rindu Menyapa pada trek akhir sebagai melengkap album ini," katanya yang turut mendapat bimbingan vokal daripada penyanyi, Bob Yusof.

Dayang menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra, manakala susunan muzik album Belagu II dihasilkan pengarah terkenal, Aubrey Suwito. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
Dayang menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra, manakala susunan muzik album Belagu II dihasilkan pengarah terkenal, Aubrey Suwito. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

Belagu II diterbitkan syarikat milik Dayang, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital membabitkan lebih 40 pemuzik di bawah naungan maestro muzik antarabangsa, Peter Illenyi.

Proses rakaman muzik berlangsung di salah satu studio ikonik Budapest, Rottenbiller Hall. Album Belagu II diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Untuk album versi digital akan berada di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music, esok.

Diminta mengulas insiden penyanyi Sissy Imann yang terasa hati dengan teguran juri tetap, Mas Idayu menerusi program Famili Duo, Dayang yang pernah bergelar juri program realiti, Big Stage berkata, Sissy perlu kuat semangat dan mengambil teguran sebagai asam garam sebagai anak seni.

Pernah bergelar peserta program realiti, One In A Million, Dayang berkata, dia faham perasaan Sissy kerana peserta program biasanya cukup rapuh.

"Saya sendiri pernah beberapa kali menangis sewaktu menyertai program realiti, One In A Million.

"Tidak dinafikan, perasaan terasa hati timbul kerana sudah berusaha keras memberi persembahan terbaik setiap minggu dengan pelbagai persediaan dilakukan.

"Apapun, dalam kritikan juri pastinya ada positif dan negatif. Cuma, kita kena ambil sebagai positif.

"Percayalah, teguran itu tanda sayang," katanya.

Berita Harian X