Sabtu, 21 Januari 2023 | 1:00pm
Fikry berkorban soal jodoh demi berbakti kepada ibu dengan menjaga ibu yang sedang sakit. - Foto IG Fikry Ibrahim
Fikry berkorban soal jodoh demi berbakti kepada ibu dengan menjaga ibu yang sedang sakit. - Foto IG Fikry Ibrahim

Fikry tak mahu buat bakal isteri 'hamba'

KUALA LUMPUR: Saat ini, tumpuan pelakon Fikry Ibrahim, 29, lebih kepada ibunya, Bibi Zaleh, 75, yang diserang penyakit angin ahmar, kencing manis, jantung dan darah tinggi berbanding memikirkan soal jodoh.

Seperti lelaki lain, keinginan juara program realiti, Lawak Solo pada 2016 itu tetap ada, apatah lagi, melihat teman baik sudah berkeluarga dan memiliki cahaya mata.

Namun, keutamaan pemilik nama Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim ini harus diberikan kepada ibu yang kurang sihat.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu berkata, perancangan ke arah perkahwinan belum difikirkan, selain mahu memberi tumpuan kepada kerjaya.

"Sekarang saya mahu ada masa untuk diri sendiri dan menjaga mak. Jika saya terikat dengan penggambaran mungkin agar sukar menjaga mak di kampung.

"Soal calon jodoh, saya tentunya mahukan seseorang yang boleh membuatkan mak selesa agar tidak timbul sebarang masalah pada kemudian hari," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Fikry berkata, dia masih mempunyai keinginan hidup bersama pilihan hati, namun memilih berkorban buat masa ini.

"Siapa tiada keinginan mahu berkahwin, tetapi saya perlu memikirkan banyak perkara. Saya tidak mahu kurang memberi perhatian kepada isteri disebabkan saya perlu menjaga mak.

"Hakikatnya, tak semua wanita boleh terima keadaan ini. Saya juga tidak mahu isteri terasa seperti hamba untuk melakukan pelbagai perkara. Jadi, saya berkorban soal jodoh dan tumpukan perhatian kepada menjaga mak," katanya.

Fokus Fikry lebih tertumpu kepada menjaga ibu dan perniagaan, tetapi masih meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa. - NSTP/Fathil Asri
Fokus Fikry lebih tertumpu kepada menjaga ibu dan perniagaan, tetapi masih meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa. - NSTP/Fathil Asri

Pelakon yang melonjak nama menerusi drama Rahsia Hati Perempuan dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu berkata, ibunya tidak pernah mencampuri urusan peribadinya.

"Mak tak tanya soal kahwin. Dari dahulu, mak tidak akan ganggu soal peribadi dan kerjaya.

"Saya pun tidak berkongsi hal peribadi. Setakat ini, saya belum ada sesiapa dan fokus menjaga mak sahaja," katanya.

Mengulas kerjaya lakonan yang dilihat timbul tenggelam, pelakon kelahiran Jitra, Kedah itu berkata, ia masih berjalan seperti biasa dan sudah ada beberapa projek untuk dijayakan, tahun ini.

"Memang fokus saya lebih tertumpu kepada menjaga mak dan berniaga, tetapi saya masih meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa.

"Saya sudah terima beberapa tawaran lakonan, tahun ini. Antaranya, projek drama pada tayangan Ramadan dan penggambaran untuk dijalankan dalam masa terdekat.

"Saya juga akan muncul dengan filem, tahun ini. Cuma, saya masih belum boleh berkongsi lanjut, tetapi genre filem seram," katanya yang dipilih sebagai Chief Espresso Officer (CEO) untuk jenama minuman, Tealive yang berperanan mempromosikan aneka pilihan kopi, baru-baru ini.

Berita Harian X