KUALA LUMPUR: Biarpun sudah beberapa kali menunaikan umrah, namun pemergian pelakon Aidil Aziz, 35, kali ini lebih bermakna apabila menjejaki Tanah Suci bersama isterinya, Fasha Sandha.
Lebih manis, kata Aidil atau nama sebenarnya, Mohd Aidil Mohd Aziz, ini adalah kunjungan pertama mereka sebagai suami isteri selepas mendirikan rumah tangga pada 2019.
"Saya sudah beberapa kali berpeluang menunaikan umrah, namun kali ini bersama isteri. Ini juga pengalaman baru buat Fasha.
"Tak terungkap perasaan syukur apabila dapat menunaikan umrah bersama. Sejak awal, Fasha memang teruja nak jejak kaki ke Tanah Suci Makkah," katanya kepada BH Online.
Tambah Aidil, lebih membuatnya terharu apabila urusan ke Tanah Suci Makkah dipermudahkan, antaranya urusan penjagaan anak-anak.
"Alhamdulillah, ada sahaja menawarkan menjaga anak-anak apabila kami menyimpan hasrat menunaikan ibadah bersama.
"Tiga cahaya mata kami dijaga oleh keluarga terdekat," katanya yang ditemui pada majlis pra pelancaran dan sidang media Absolut Bazar x Festival Gaya Raya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.
Aidil berkongsi, dia sudah lama berhasrat untuk membawa Fasha menunaikan umrah.
Bagaimanapun, katanya, niat tertangguh akibat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas penularan pandemik COVID-19.
"Saya sudah lama menyimpan niat, tetapi inilah masa terbaik memandangkan anak, Aisha Amaira sudah berusia dua tahun. Ini juga perancangan Allah SWT.
"Doakan urusan ibadah kami dipermudahkan dan segala perancangan berjalan dengan lancar," katanya yang bergerak ke Tanah Suci Makkah, hari ini.
Terdahulu, Aidil dan Fasha mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2019 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.
Sebelum itu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli pada 2012, namun berpisah pada 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemyma, 8.