Isnin, 16 Januari 2023 | 9:56pm
Syamsul memuat naik foto kedua-dua permata hatinya, Syaikhul Islam yang berusia enam tahun dan Sumyyah, empat tahun, di IG Story. Foto IG Syamsul Yusof
Syamsul memuat naik foto kedua-dua permata hatinya, Syaikhul Islam yang berusia enam tahun dan Sumyyah, empat tahun, di IG Story. Foto IG Syamsul Yusof

Syamsul sibuk di lokasi penggambaran The Original Gangster

KUALA LUMPUR : Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof berkongsi entri video di Instagram (IG) memaparkan dirinya berada di lokasi penggambaran filem The Original Gangster, kira-kira dua jam lalu.

Dalam video itu, selain kelibat Syamsul, turut kelihatan Datuk Rosyam Nor dan Beto Kusyairy yang seperti dalam keadaan bersedia untuk melakonkan babak dalam filem yang sedang rancak menjalani penggambaran itu.

Selain itu, Syamsul yang juga pengarah filem 'box office', Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, turut memuat naik foto kedua-dua permata hatinya, Syaikhul Islam yang berusia enam tahun dan Sumyyah, empat tahun, di IG Story.

Melalui perkongsian itu, Syamsul yang berdepan tuntutan cerai difailkan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi tadi, mempamerkan emoji hati diiringi nota ringkas berbunyi 'always' atau selama-lamanya.

Syamsul berkongsi entri video di Instagram (IG) memaparkan dirinya berada di lokasi penggambaran filem The Original Gangster, kira-kira dua jam lalu. Foto IG Syamsul Yusof
Syamsul berkongsi entri video di Instagram (IG) memaparkan dirinya berada di lokasi penggambaran filem The Original Gangster, kira-kira dua jam lalu. Foto IG Syamsul Yusof

Sejak pagi tadi, usaha BH Online untuk mendapatkan reaksi Syamsul berhubung langkah Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai, baik melalui panggilan atau mesej, tidak berhasil.

Pagi tadi, Puteri Sarah yang ditemani dua adiknya iaitu Puteri Sofia Nadira dan Megat Imran Ikram serta peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Kemelut rumah tangga dihadapi Syamsul dan isterinya, sejak empat tahun lalu semakin hangat diperkatakan selepas pengarah kontroversi itu membuat pengakuan sudah berkahwin dua dengan Ira Kazar di Thailand.

Ibarat retak menanti belah, pendedahan Syamsul itu membuatkan konflik yang berlaku terus berlarutan hingga akhirnya Puteri Sarah nekad untuk memfailkan perceraian.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul dan Sumayyah.

Berita Harian X