KUALA LUMPUR: Bagi mencari kelainan, pengarah prolifik, Syafiq Yusof nekad mengambil risiko dengan mengetengahkan pelakon wanita, Puteri Aishah sebagai watak utama dalam drama aksi terbaru, Special Forces: Anarchy.
Syafiq, 31, yang juga pengarah bagi filem Abang Long Fadil dan Misteri Dilaila itu berkata, pemilihan pelakon dalam drama kali ini bersesuaian dengan perspektif baharu yang ingin diketengahkan.
"Saya dan pasukan produksi mengambil cabaran membuat kelainan dengan mengetengahkan pelakon wanita sebagai watak utama.
"Inspirasi drama ini diambil menerusi filem arahan saya, KL Special Force pada 2018. Corak persembahan dalam drama ini juga boleh dikatakan lebih kurang dengan filem berkenaan.
"Bagaimanapun, ia bukanlah siri sambungan. Drama aksi Special Forces: Anarchy ini memaparkan aksi kepolisan berbeza jalan cerita. Saya juga memerlukan karakter yang boleh melakukan aksi dan memberikan emosi.
"Kalau lihat dalam filem, hero sarat dengan babak pergaduhan. Tetapi, kami lakukan pembaharuan jalan cerita dengan mengetengahkan pelakon wanita selaku watak utama. Ini antara kelainan ditonjolkan," katanya kepada BH Online.
Bercerita lanjut, anak kepada pengarah terkemuka, Datuk Yusof Haslam itu mengakui, berdepan cabaran apabila mahu menghasilkan drama yang memiliki latar belakang negara berbeza.
"Agak sukar untuk mengubah menjadi sesebuah negara lain. Disebabkan penggambaran dijalankan di ibu kota, jadi banyak logo dan bangunan ikonik Malaysia dapat dilihat.
"Banyak rakaman nampak seperti di Kuala Lumpur. Jadi, apa yang kami lakukan menggunakan kesan khas visual (VFX) untuk mengubah suasana.
"Itulah cabaran saya ketika proses suntingan. Kami perlu buat seperti berada di negara berbeza kerana mahu mengelakkan daripada sebarang isu sensitif," katanya.
Dalam masa sama, Syafiq tidak menolak kemungkinan drama arahannya itu akan disamakan dengan siri popular, Money Heist yang disiarkan di platform penstriman digital, Netflix.
Bagaimanapun, Syafiq menegaskan drama Special Forces: Anarchy diinspirasikan daripada filem KL Special Force.
"Saya tidak nafikan sekiranya drama aksi itu berkonsepkan rompakan, orang akan bandingkan dengan drama Korea, Money Heist.
"Tetapi, apa yang saya boleh katakan ia adalah inspirasi daripada filem KL Special Force yang diterbitkan pada 2018 iaitu sebelum karya Money Heist itu wujud," katanya.
Sementara itu, Puteri Aishah, 29, berkata, drama berkenaan memberikan pengalaman baharu buatnya apabila perlu menjayakan babak mencabar dan membahayakan.
Namun, katanya, dia bersyukur tidak berlaku seberang kecederaan ketika penggambaran.
"Babak paling mencabar sepanjang penggambaran memerlukan saya mengeluarkan badan melalui tingkap kereta yang sedang bergerak laju untuk adegan tembak menembak.
"Namun, Syafiq menyediakan pelakon aksi ngeri dan mereka banyak membantu. Jika ada babak sangat mencabar dan saya tidak boleh melakukannya, mereka akan ambil alih.
"Apapun, saya bersyukur tidak berlaku kecederaan ketika menjayakan babak bahaya. Pihak produksi memang menitikberatkan keselamatan pelakon," katanya.
Drama bergenre aksi tujuh episod itu mengisahkan perjalanan Iman (Puteri Aishah) sebagai pegawai polis muda yang berani dari sebuah negara fiksyen, Tenggara.
Iman ditugaskan menyiasat kes rompakan bank terancang akhirnya dipertemukan dengan satu kumpulan penjenayah berbahaya dan membuka lembaran rahsia besar.
Drama Special Force: Anarchy turut dibintangi penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir yang menggalas watak sebagai dalang di sebalik rompakan Bank Tenggara dan ketua kumpulan Anarki.
Turut membintangi, Hasnul Rahmat, Alvin Wong, Johan As'ari, Fify Azmi, Chacha Maembong, Yusuf Bahrain, Anas Ridzuan, Elizabeth Tan, Dynas Mokhtar dan Steve Yap.
Drama aksi terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu sudah ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar, sejak Sabtu lalu.