Sabtu, 14 Januari 2023 | 3:00pm
Persembahan Tulus bukanlah sebuah konsert berskala besar, sebaliknya lebih kepada showcase.
Persembahan Tulus bukanlah sebuah konsert berskala besar, sebaliknya lebih kepada showcase.

Peminat salah faham, 'bising' tiket Tulus mahal

KUALA LUMPUR: Penganjur acara Fabulous Friday, Shiraz Projects tampil memberi penjelasan berhubung perasaan tidak puas hati segelintir penonton terhadap durasi persembahan penyanyi popular Indonesia, Tulus yang didakwa tidak berbaloi dengan harga tiket dikenakan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, persembahan pemilik nama Muhammad Tulus itu bukanlah sebuah konsert berskala besar seperti disangka.

"Konsep diketengahkan menerusi Fabulous Friday ini antara showcase dan konsert, manakala durasinya antara 75 hingga 90 minit.

"Persembahan Tulus malam itu bukanlah konsert, sebaliknya ia lebih kepada showcase.

"Lagipun, ini bukan kali pertama saya menganjurkan acara ini kerana kumpulan Wings juga menampilkan konsep persembahan sama di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Julai tahun lalu," katanya kepada BH Online.

Kos penganjuran tinggi menyebabkan tiket dikenakan agak mahal tidak dapat dielakkan.
Kos penganjuran tinggi menyebabkan tiket dikenakan agak mahal tidak dapat dielakkan.

Mengulas isu bayaran tinggi yang menjadi rungutan penonton, Shirazdeen berkata, kos penganjuran tinggi menyebabkan perkara itu tidak dapat dielakkan.

"Sekarang, semua harga barang naik dan sebagai penganjur, kami juga berdepan dengan masalah sama.

"Kos bayaran pembekal, lokasi dan bayaran artis tinggi menyebabkan kami tidak dapat mengelak mengenakan harga tiket yang agak tinggi.

"Bukan mudah mendapatkan penyanyi nombor satu Indonesia seperti Tulus. Kami sendiri terpaksa menunggu lebih setahun untuk mendapatkannya.

"Sepanjang menganjurkan pelbagai acara, kami tidak pernah berdepan masalah pun.

"Justeru, apabila ada yang mempertikaikannya, saya rasa amat terkilan," luahnya.

Pun begitu, Shirazdeen memberi jaminan akan memperbaiki segala kelemahan pada masa akan datang.

"Tak dinafikan ada perkara yang kami terlepas pandang. Insya-Allah, kami akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada demi kepuasan semua pihak," janji Shirazdeen.

Persembahan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 dan 6 Januari hanya berdurasi sekitar 70 minit dan menyaksikan penyanyi lagu Manusia Kuat dan Gajah itu menyampaikan 15 lagu.

Berita Harian X