Khamis, 12 Januari 2023 | 4:08pm
Syafiq berharap netizen berhenti mencetuskan spekulasi tidak benar yang boleh memburukkan lagi keadaan keluarganya. - NSTP/Aziah Azmee
Syafiq berharap netizen berhenti mencetuskan spekulasi tidak benar yang boleh memburukkan lagi keadaan keluarganya. - NSTP/Aziah Azmee

Syamsul kuat, mampu perbetulkan keadaan - Syafiq

KUALA LUMPUR: Adik pengarah kontroversi, Syamsul Yusof iaitu Syafiq Yusof menyifatkan abangnya seorang yang tabah meskipun berdepan kemelut rumah tangga bersama isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.

Syafiq yang juga seorang pengarah berkata, dia percaya abangnya mampu memperbetulkan semula keadaan dengan cara tersendiri.

"Mengenali abang, dia seorang lelaki yang tabah seperti ayah kami.

"Apa sahaja masalah, kerja abang mesti siap. Saya percaya abang mampu kendalikan," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Syafiq berkata, dia tidak pernah mencampuri soal peribadi abangnya kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai projek termasuk penggambaran filem.

"Kami tidak duduk serumah dan jarang berjumpa. Kali terakhir berjumpa pada Aidilfitri lalu. Tetapi, perbualan lebih kepada filem dan projek baharu.

"Kami bercakap di telefon pula sekitar dua bulan lalu, tetapi sama ada berkaitan soal kerja atau peribadi, biarlah saya simpan sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama bersiri terbaharu arahannya, Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syafiq berkata, dia masih belum berkesempatan bertemu dengan isteri kedua Syamsul, Ira Kazar.

Syafiq bersama barisan pelakon drama bersiri, Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions. - NSTP/Aziah Azmee
Syafiq bersama barisan pelakon drama bersiri, Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions. - NSTP/Aziah Azmee

Malah, Syafiq mengakui, dia juga tidak mengetahui sama ada orang tuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail sudah bertemu Ira atau sebaliknya.

"Saya tak berjumpa lagi, saya juga tak pasti ibu bapa juga begitu. Kalau boleh, soal keluarga biarlah kekal sebagai hak peribadi keluarga.

"Namun, saya faham, kami adalah keluarga seni, jadi terpaksa terima bila jadi perhatian.

"Bagaimanapun, sesiapa berfikiran waras boleh tahu tak semua perkara dalam internet benar. Ada bercampur baur, malah kebanyakannya mungkin fitnah," katanya.

Syafiq berharap orang ramai berhenti mencetuskan spekulasi tidak benar yang memburukkan lagi keadaan keluarganya.

"Paling utama, saya harap netizen tidak buat andaian bukan-bukan. Selain itu, saya harap isu ini selesai cepat dan tak nak soal peribadi keluarga terus menjadi bualan ramai.

"Tiada apa yang saya dapat katakan. Cuma, saya mendoakan kebahagiaan dan ketenangan ibu bapa dan keluarga.

"Saya tak masuk campur, namun sebagai adiknya, saya tetap doakan kebahagiaan dan ketenangan Syamsul dan keluarganya," katanya.

Berita Harian X