KUALA LUMPUR: Kontroversi individu mengamalkan poligami dalam perkahwinan sehingga menggoyahkan hubungan dengan isteri pertama heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Susulan itu, pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin yang juga berstatus isteri kedua memberi nasihat mengenai poligami.
Menerusi sebuah program temu bual, Zarina berkongsi pengalaman dan memberi nasihat kepada golongan wanita.
Zarina atau nama sebenarnya, Nur Zarina Mohd Zainuddin, 52, berkata, dia sejujurnya tidak mahu menjadi perampas ataupun hidup bermadu.
"Saya tidak mahu berkahwin dengan suami orang. Saya tidak suka menjadi perampas suami orang," katanya.
Namun, Zarina mendedahkan, dia meminta suami membawanya berdepan dengan isteri pertama jika benar-benar ikhlas ingin berkahwin dengannya.
"Kalau abang betul-betul mahu berkahwin dengan saya, bawa jumpa dengan isteri abang, kenalkan kepada isteri abang… Biar saya sendiri minta izin dengan isteri abang.
"Kalau dia izinkan, saya kahwin… Kalau tidak izinkan, saya tidak akan kahwin dengan suami orang.
"Keesokan harinya, suami bawa saya jumpa isteri pertama. Dia seorang lelaki sangat matang dan budiman. Perkara itu susah orang nak buat," jelas Zarina lagi.
Zarina mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Dr Abu Raihan Wan Jaafar pada 13 Julai 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata lelaki, sepasang kembar Muhammad Adam Azrai Abu Raihan, Muhammad Naim Azrai Abu Raihan, Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil).
Dua daripada empat cahaya mata mengidap autisme - XTRA