KUALA LUMPUR: Selepas dihambat kontroversi berkahwin dua, Syamsul Yusof berkongsi entri terbaharu di Instagram (IG), pagi tadi, yang ditujukan khas buat kedua-dua isterinya.
Pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan itu meletakkan kapsyen berbunyi:
"Selamat pagi! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar.
"Doakan yang baik-baik."
Jumaat lalu, Syamsul menggemparkan peminat apabila membuat pengakuan melalui video dirinya sudah bernikah dengan aktres, Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Susulan pengakuan Syamsul, topik berkaitan kemelut rumah tangganya dan kehadiran Ira sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga 'trending' di Twitter.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun.