KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Sophia Albarakbah, 30, tidak faham bagaimana timbul dakwaan konon dirinya ada apa-apa dengan aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz yang menjadi gandingannya dalam drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Dihambat kontroversi, apatah lagi, Aliff sebelum ini pernah 'panas' dengan gosip sama, Sophia menjelaskan, sebagai pelakon, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya.
"Video itu (rakaman video tular) hanyalah salah satu babak dalam drama yang kami lakonkan.
"Kami bawa watak sedang bercinta, jadi, takkanlah saya hendak pandang pasangan dengan wajah kebencian," katanya kepada BH Online.
Keakraban Sophia dengan Aliff mula diperkatakan selepas pelakon wanita itu memuat naik video Aliff membelai rambutnya sambil bertentangan mata yang dilakonkan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Perkongsian yang dimuat naik di Tik Tok itu bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang tidak mahu melihat perkara lebih serius berlaku, lebih-lebih lagi dengan status Aliff yang sudah pun berkahwin.
Sophia mengaku ada masanya serba salah dengan kemahuan netizen setiap kali prestasi lakonan diperkatakan.
"Jika tampak kaku, saya dituduh tidak pandai berlakon dan begitulah sebaliknya.
"Kalau berlakon tiada 'feel', dikecam tidak pandai beraksi. Tetapi apabila lakonan 'sampai', orang kecam juga kerana mereka kata macam betul-betul.
"Jadi, apa yang perlu saya buat sekarang?" katanya.
Sophia berharap peminat melihat dirinya dan Aliff sebagai Raisya Hannah dan Luth Mikhail, iaitu watak yang dibawa mereka dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
"Tolong tengok kami ikut watak dibawa, bukan sebagai Sophia dan Aliff," katanya.
Sementara itu, pengurus Sophia yang dikenali sebagai Nik Yasmin, berkata, sikap Sophia yang lemah lembut dan kejelitaannya, memungkinkan aktres itu sering disalah sangka.
"Sophia wanita lemah lembut dan manja.
"Mungkin disebabkan itu, ramai yang salah sangka dengannya. Malah, Sophia sudah ada teman lelaki," katanya.
Sebelum ini, aktres kacukan Melayu, Arab dan Cina itu pernah dikaitkan dengan gandingannya dalam drama Cinta Hilang Kata iaitu Shah Jazle.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan hanya berkawan. Malah, isteri Shah Jazle dilaporkan tahu hubungan mereka.