Isnin, 9 Januari 2023 | 11:00am
Drama Filipina, The One That Got Away disiarkan setiap Isnin hingga Sabtu, mulai jam 11 malam di TV Okey, sejak Rabu lalu. Foto Ihsan TV Okey
Drama Filipina, The One That Got Away disiarkan setiap Isnin hingga Sabtu, mulai jam 11 malam di TV Okey, sejak Rabu lalu. Foto Ihsan TV Okey

Kisah tiga wanita dalam The One That Got Away

KUALA LUMPUR : Apabila sebut sahaja istilah telenovela, pasti terlintas pelbagai drama yang pernah menjadi kegilaan ramai termasuk naskhah dari Filipina yang ditayangkan di Malaysia.

Antara drama Filipina yang popular di negara ini adalah Pangako Sa'yo (The Promise), Marimar, Be Careful With My Heart dan Forevermore yang membuatkan penonton 'melekat' di hadapan televisyen (TV).

Terbaru, RTM menampilkan seleksi drama bersiri bertajuk The One That Got Away dengan gandingan mantap pelakon iaitu Lovi Poe, Max Collins, Rhian Ramos, dan Dennis Trillo.

Mula ditayangkan pada 2018, drama bersiri arahan Mark Sicat Dela Cruz dan Rado Peru ini pasti membuatkan penonton tidak berganjak menyaksikannya setiap Isnin hingga Sabtu, mulai jam 11 malam di TV Okey, sejak Rabu lalu.

Kisah bermula dengan pengenalan terhadap watak Alexandra Rey lakonan Poe, iaitu pekerja untuk rangkaian kabel.

Rey individu ceria yang bekerja keras menyara keluarganya. Watak Darlene lakonan Collins digambarkan sebagai jurulatih peribadi yang lantang dan bercita-cita tinggi.

Darlene sangat berdikari dan menjadi tulang belakang yang boleh dipercayai untuk adik-beradiknya.

Watak Sophia Elizabeth (Ramos) pula digambarkan sebagai pereka pakaian renang dan personaliti media sosial.

Berasal daripada keluarga kaya, dia menetap di kondominium mewah dan menjalani gaya hidup bebas.

Apabila ketiga-tiga wanita itu bertemu, mereka mula menyedari ada suatu persamaan iaitu masing-masing pernah menjadi teman wanita jejaka dikenali sebagai William Dominic atau Liam lakonan Dennis Trillo, iaitu usahawan kacak yang digilai ramai.

Ikuti kisah bagaimana tiga wanita terbabit masih jatuh cinta dengan Liam. Bolehkah mereka mengetepikan perbezaan peribadi dan memperjuangkan cinta secara adil?

Berita Harian X