KUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata ketika berpesan kepada anak, Syamsul dan menantu, Puteri Sarah Liyana berhubung kemelut rumah tangga melanda mereka.
Yusof mahu Syamsul menjadi suami yang faham erti tanggungjawab seperti ditetapkan agama.
"Saya harap Syamsul lebih bertanggungjawab kerana kehidupan ini bukan mudah. Hidup ini suatu perjuangan sebenarnya.
"Perjuangan mempertahankan rumah tangga, pertahan isteri dan tanggungjawab sebagai suami," katanya dalam program yang disiarkan secara langsung TV3, tengah hari tadi.
Yusof turut berkongsi rahsia perkahwinannya dengan isteri, Datin Patimah Ismail kekal selama 40 tahun.
"Saya sudah berkahwin dengan isteri selama hampir 40 tahun. Apa yang mengekalkan rumah tangga kami adalah sifat memujuk saya.
"Kalau isteri kita merajuk, kita kena pujuk. Jangan biarkan isteri kita mengasingkan diri daripada kita, jangan biarkan dia merajuk atau memendam rasa.
"Kita manusia biasa dan tidak sempurna. Kalau ada kelemahan, masing-masing kena selesaikan.
"Suami kena mainkan peranan kerana dia imam dalam sesebuah keluarga," katanya.
Yusof mengulas pendedahan Syamsul yang mengaku berkahwin dua dengan Ira Kazar di Thailand.
Yusof menambah, Syamsul tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan membiarkan isterinya berdepan ujian sendirian.
"Hampir 40 tahun mendirikan rumah tangga, kami juga pernah berdepan masalah emosi.
"Jika isteri merajuk kerana kesilapan suami, kita kena mengaku.
"Jangan berahsia... Insya-Allah rumah tangga akan kekal. Kita juga jangan ada perasaan pentingkan diri dan anggap isteri kena dengar cakap kita 100 peratus.
"Isteri kita manusia suci dan bukan robot," katanya.