Ahad, 8 Januari 2023 | 11:00am
Daiyan mahu memberi tumpuan kepada projek menghasilkan single baharu dan karier lakonan, tahun ini. Foto IG Daiyan Trisha
Daiyan mahu memberi tumpuan kepada projek menghasilkan single baharu dan karier lakonan, tahun ini. Foto IG Daiyan Trisha

Daiyan penat layan gosip cinta

KUALA LUMPUR : Asalkan tersebar foto mesra bersama lelaki, pasti timbul spekulasi sedang menjalinkan hubungan cinta.

Sebelum ini, pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha pernah dikaitkan dengan Aedy Asyraf, gara-gara dilihat menyaksikan Konsert Coldplay di Stadium Wembley, London, United Kingdom (UK) bersama pada September, tahun lalu.

Baru-baru ini, melalui perkongsian video sempena hari jadi Daiyan oleh personaliti media sosial, Nazreem Musa di TikTok, Daiyan sekali lagi digosipkan dengan abang kepada pelakon Ummi Nazeera itu.

Ramai merestui apabila melihat keakraban Daiyan dan Nazreem sehingga meninggalkan komen mendoakan agar mereka bertemu jodoh.

Barangkali, sudah faham dengan sepak terajang dunia seni, wanita kelahiran Bangi, Selangor itu tidak sedikit melatah apabila dituduh menyembunyikan hubungan istimewa.

Ujar penyanyi lagu Penat itu, dia sudah lali apabila sering dikaitkan dengan individu tertentu.

Mungkin, kata Daiyan, disebabkan status masih solo jadi netizen gemar 'kenen-kenen' dengan lelaki yang rapat dengannya.

"Nazreem adalah kawan baik. Saya tidak faham macam mana boleh timbul spekulasi kami bercinta. Kami sudah tiga tahun saling mengenali.

Daiyan mengaku sudah lali apabila sering dikaitkan dengan individu tertentu. Foto IG Daiyan Trisha
Daiyan mengaku sudah lali apabila sering dikaitkan dengan individu tertentu. Foto IG Daiyan Trisha

"Saya yakin ramai tahu hubungan saya dengan Nazreem terutama teman-teman. Jadi, saya memilih tidak komen lanjut mengenai perhubungan kami," katanya kepada BH Online.

Walaupun faham dengan 'permainan' dunia seni, namun ada kalanya Daiyan mula penat menepis gosip cinta.

"Ada kalanya penat juga. Sebab saya masih belum berkahwin, jadi peminat suka mengaitkan saya dengan orang itu dan ini.

"Tetapi, saya faham, ini adalah asam garam perlu dihadapi apabila bergelar anak seni," katanya.

Berbicara perjalanan kerjaya sepanjang 2022, wanita berusia 29 tahun itu bersyukur banyak impian berjaya direalisasikan. Antaranya, memiliki kediaman jenis banglo dan mula menempa nama di peringkat antarabangsa.

"Banyak impian saya tercapai untuk tahun lalu. Semestinya saya bangga, lebih lagi apabila berjaya melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

"Namun, ada lagi impian yang ingin dicapai. Harapan saya dapat untuk memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian dan lakonan.

"Saya berhasrat menghasilkan single baharu dan ingin memberi fokus kepada projek lakonan," katanya.

Berita Harian X