Sabtu, 7 Januari 2023 | 12:01pm
Janna mendakwa melihat sendiri kepayahan Puteri Sarah menguruskan anak-anak tanpa suami di sisi. - Foto IG Janna Nick
Janna mendakwa melihat sendiri kepayahan Puteri Sarah menguruskan anak-anak tanpa suami di sisi. - Foto IG Janna Nick

Janna Nick berang Puteri Sarah dituduh derhaka

KUALA LUMPUR: Artis versatil, Janna Nick mempertahankan Puteri Sarah Liyana dalam kontroversi rumah tangga bersama suami, Syamsul Yusof.

Menerusi hantaran dikongsi di Instagram Story (IGs), Janna meluahkan emosi dipercayai ditujukan kepada pengarah kontroversi itu biarpun tiada nama disebut.

"Berhenti bermanipulasi. Jangan aniaya isteri, ibu kepada anak-anak sendiri. Kalau dah tak cinta, lepaskan. Bukan gantung tak bertali.

Janna memuat naik hantaran di IGs dipercayai ditujukan kepada Syamsul yang mencetuskan kontroversi berkahwin dua dengan Ira. - Foto IG Janna Nick
Janna memuat naik hantaran di IGs dipercayai ditujukan kepada Syamsul yang mencetuskan kontroversi berkahwin dua dengan Ira. - Foto IG Janna Nick

"Jangan jadi munafik. Maaf, saya tak boleh," tulisnya.

Pada masa sama, Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner berkongsi kepayahan dilalui Puteri Sarah dalam mengurus anak-anak tanpa suami sejak beberapa bulan lalu.

"Saya sendiri bersamanya (Puteri Sarah) masa anak dia masuk hospital, bapa dia mana? Lepas tangan. Bini (isteri) itulah yang ke hulu ke hilir jaga anak.

"Hantar anak pergi sekolah. Balik sekolah seorang diri. Kau? Adakah kau fikir duit adalah segala-galanya?" katanya.

Janna menegaskan, dia nekad bersuara apabila rakannya dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah seperti disuarakan Syamsul.

"Saya tidak akan masuk campur kalau kamu diam. Sudah kahwin, cukup. Jangan cakap dia (Puteri Sarah) derhaka. Saya marah bila dia kata bini (isteri) dia tak balik rumah.

"Kepada semua lelaki di muka bumi ini, jangan aniaya isteri. Paling teruk bila guna agama untuk tutup kesalahan.

"Maaf saya tak boleh dengan lelaki seperti ini. Sumpah saya tidak boleh. Bagilah duit RM100 juta sekali pun, saya tetap tak mahu," tulisnya.

Semalam, Syamsul meleraikan spekulasi apabila memuat naik video di IG yang mengesahkan sudah berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira Kazar di Thailand.

Majlis akad nikah berkenaan berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

Berita Harian X