Jumaat, 6 Januari 2023 | 6:05pm
Bahtera rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul dilanda masalah sejak beberapa tahun lalu.
Bahtera rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul dilanda masalah sejak beberapa tahun lalu.

Awak salahkan saya? Okay, tunggu… - Puteri Sarah

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana meminta suaminya, Syamsul Yusof agar tidak bermain dengan nama Tuhan semata-mata mahu tampak seperti 'malaikat' di mata manusia.

Luahan itu dibuat Sarah dalam hantaran terbaharu dimuat naik di Instagram (IG).

Dalam entri yang memaparkan foto dua anaknya iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3, Sarah meminta agar Syamsul tidak membalikkan kebodohan itu kepadanya.

"Syamsul Yusof, tolong jangan balikkan kebodohan awak kepada saya. Jangan gunakan nama Allah untuk membuatkan awak kelihatan seperti malaikat di mata manusia," katanya.

Dalam hantaran sama, Sarah turut mendedahkan jika anak-anak diberi peluang untuk memberi kenyataan di Mahkamah Syariah, pasti mereka akan bertanya kenapa Syamsul sering meninggalkan mereka.

Puteri Sarah memuat naik hantaran dalam IG menjawab permintaan suaminya, Syamsul yang memintanya pulang ke rumah menyelesaikan masalah rumah tangga.
Puteri Sarah memuat naik hantaran dalam IG menjawab permintaan suaminya, Syamsul yang memintanya pulang ke rumah menyelesaikan masalah rumah tangga.

"Jika Syaikhul dan Sumayyah boleh memberikan kenyataan di mahkamah, mereka pasti akan berkata, ayah yang banyak kali keluar rumah tinggalkan mama, abang dan kakak, bukan kami! Mana ayah selalu tak ada di rumah? " tulisnya.

Luahan Sarah dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Syamsul dalam video pengumuman pernikahannya dengan Ira Kazar di mana pengarah kontroversi itu meminta Sarah pulang ke rumah bagi membincangkan masalah rumah tangga tanpa mengaibkan dirinya sebagai suami.

Selain itu, Syamsul menegur tindakan Sarah yang membawa anaknya ke sana sini tanpa terlebih dulu meminta keizinan darinya.

Terdahulu, Sarah yang sedang menjalani penggambaran drama Andai Itu Takdirnya dalam hantaran di IG Story memberitahu dia akan membuat video komen balas bagi mengulas pernikahan Syamsul dengan Ira sebaik selesai penggambaran.

Dalam entri itu, Sarah sempat menitipkan ucapan tahniah buat pasangan pengantin baharu kerana akhirnya berani tampil membuat pengakuan.

"Awak letakkan kesalahan pada saya? Ok, tunggu..

"Kejap lagi Sarah buat video. Tunggu ya. Tapi, apa-apa pun tahniah sebab akhirnya mengaku dan berdaftar. Selepas sudah berbulan nikah di Thailand kan?" tulisnya.

Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul dan Summayah.

Berita Harian X