KUALA LUMPUR: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah gambaran dialami penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza yang menderita pelbagai penyakit iaitu bengkak leher, kencing manis, darah tinggi, migrain serta tahap kolesterol kritikal.
Bukan sahaja berdepan masalah kesihatan kronik, Ibnor atau nama penuhnya, Ibnor Riza Ibrahim, 62, tiada mata pencarian selepas kehilangan suara akibat bengkak leher.
Ketika dihubungi menerusi WhatsApp, penyanyi berkulit hitam manis ini mengaku kehidupannya semakin sukar, apatah lagi tugas untuk mencari rezeki adalah tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
"Buat masa ini, saya dalam keadaan sangat susah. Selama ini saya mencari rezeki dengan menggunakan suara.
"Disebabkan leher bengkak, saya hilang suara. Hendak bercakap pun tak boleh, jadi macam mana hendak menyanyi?
"Selepas menjalani pemeriksaan, doktor beritahu ada sel mati pada leher yang mengakibatkannya bernanah.
"Sudah tiga bulan saya tidak ambil 'show' kerana penyakit ini," katanya kepada BH Online.
Ibnor yang popular dengan rangkaian lagu balada seperti Mimpi Yang Tak Sudah dan Berdiri Seorang Perindu, aktif sejak 1984 selepas menyertai Bintang RTM.
Ibnor dilamar menjadi artis rakaman Sony Music Entertainment yang dahulunya dikenali sebagai CBS.
Namun, di sebalik kesukaran dihadapinya, penyanyi yang mula meledak melalui lagu Meneka Dalam Kesamaran ini bersyukur sikap prihatin rakan artis dan peminat atas penderitaannya.
Ada rakan seperjuangan Ibnor berkongsi keadaan terkininya dalam media sosial serta berusaha mengumpul dana untuk membantu meneruskan kehidupan.
"Mereka baru tahu keadaan saya. Sengaja saya diamkan kerana tidak mahu orang salah anggap.
"Sebagai ketua keluarga dan punya tanggungjawab, keadaan ini membuatkan saya putus asa serta hilang semangat.
"Mujur ada ramai sahabat dan rakan seperjuangan sudi membantu dari segi sokongan moral dan wang ringgit untuk saya meneruskan kehidupan dalam situasi getir ini.
"Saya sangat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan rakan artis, kenalan dan peminat.
"Tiada kata yang dapat diungkap, selain ucapan syukur serta terima kasih kerana ramai yang sayangkan diri ini," luah penyanyi bersuara garau ini.
Ditanya apakah usaha yang dilakukan agar penyakitnya segera pulih, Ibnor berkata, doktor menyarankan dia menstabilkan gula dalam tubuh sebelum tindakan lanjut dibuat.
"Pada mulanya, saya memang hendak buat pembedahan, tetapi selepas melakukan ujian darah, doktor dapati saya alami tekanan darah tinggi, kencing manis, migrain dan kolesterol.
"Doktor beritahu paras gula perlu normal, baru boleh dicadangkan tindakan lanjut.
"Buat masa ini, saya hanya bergantung kepada ubat untuk setiap penyakit yang dibekalkan.
"Saya berdoa semoga segera pulih dan dapat bekerja seperti biasa," katanya.
Terdahulu, penderitaan Ibnor dikongsi rakan artis dalam media sosial antaranya Amelina, Nizam Laksamana, Haiza, Salwa Abdul Rahman serta pengarah dan penerbit tersohor, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menerusi hantaran dalam Facebook (FB).
Ibnor berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan dan pernah merakamkan 13 album.
Dilaporkan pernah menjadi penjawat awam, namun, mengambil keputusan berhenti bagi menumpukan perhatian kepada kerjaya seni pada 1993.