Selasa, 3 Januari 2023 | 11:00am
Md Nasir menegaskan pandangan FINAS mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan atau menetapkan had masa kerja penggiat seni tidak tepat, malah bercanggah dari segi undang-undang.
Md Nasir menegaskan pandangan FINAS mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan atau menetapkan had masa kerja penggiat seni tidak tepat, malah bercanggah dari segi undang-undang.

FINAS tidak boleh atasi Akta Kerja 1955

KUALA LUMPUR: Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkara itu tidak memberi kuasa perundangan kepada FINAS berhubung isu kerja lebih masa membabitkan penggiat seni.

"Maka pandangan FINAS mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan atau menetapkan had masa kerja penggiat seni tidak tepat, malah bercanggah dari segi undang-undang.

"Saya berharap kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa FINAS dalam isu berkaitan kerja lebih masa membabitkan pelakon dan kru produksi dapat diperbetulkan dengan penjelasan ini," katanya.

Beliau berkata, kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 itu juga digunakan untuk penggiat industri filem.

Md Nasir berharap, penggiat seni perlu cakna dengan pindaan terkini berhubung akta agar tidak timbul salah faham antara majikan dan pekerja.

Katanya, ketetapan jumlah waktu bekerja dipersetujui dan ditetapkan mengikut terma dan syarat kontrak antara majikan (penerbit) dan pekerja (pelakon dan kru) hendaklah dipatuhi seperti diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun, katanya, FINAS akan mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam isu berkenaan.

"FINAS berhasrat mengundang wakil persatuan perfileman seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan entiti pemegang taruh berkepentingan bagi membincangkan mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Kami terbuka menerima kritikan dan cadangan membina daripada semua pihak bagi memastikan kepentingan serta kebajikan pekerja industri perfileman sentiasa terbela dan dilindungi," katanya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa mulai kelmarin susulan terdapat keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan, meskipun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan. - BERNAMA

Berita Harian X