Sabtu, 31 Disember 2022 | 11:00am
Penyakit ADHD beri kesan dalam perhubungan dan perkahwinan Sakinah apabila dua kali gagal mempertahankan rumah tangga dalam masa tujuh tahun. -Foto IG Sharifah Sakinah
Penyakit ADHD beri kesan dalam perhubungan dan perkahwinan Sakinah apabila dua kali gagal mempertahankan rumah tangga dalam masa tujuh tahun. -Foto IG Sharifah Sakinah

Sakinah sukar setia?

KUALA LUMPUR: Lumrah manusia hidup berpasangan, mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati dan seterusnya, memiliki cahaya mata bagi mewarnai kehidupan sesebuah keluarga.

Begitu juga lakaran perasaan yang mula kembali terbit dalam relung jiwa pelakon sensasi, Sharifah Sakinah, 33, biarpun sudah merasai keperitan dua kegagalan rumah tangga bersama insan dicintai.

Suka atau tidak, Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khairedi terpaksa reda menamatkan ikatan perkahwinan bersama juruterbang, Aliff Adha pada Mei 2020 selepas mendirikan rumah tangga selama lima tahun.

Menerusi perkahwinan itu, Sakinah dikurniakan cahaya mata perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun.

Siapa sangka, cintanya berputik semula selepas bertemu jejaka kelahiran Sweden, Michael Hansen dan melangsungkan perkahwinan pada Mei lalu, namun, ia juga tidak bertahan lama apabila terpaksa membuat keputusan nekad sekali lagi mengakhiri perkahwinan penghujung Oktober lalu.

Biarpun menyedari hakikat hidup berpasangan ada kalanya menjerat diri hingga akhirnya terheret episod perceraian, pelakon yang diperkenalkan menerusi sitkom Hotel Mania pada 2010 tidak menolak kemungkinan kembali menyemai cinta bersama jejaka baharu.

Sakinah berkata, apa sahaja perkara yang mendatangkan kebaikan kepada dirinya pasti tidak akan diketepikan.

Bagaimanapun, adik kepada dramatis, Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahirah itu tetap berpegang kepada ketentuan Yang Maha Esa yang berkuasa mutlak dalam menetapkan perjalanan hidupnya.

"Kalau ada jodoh, saya terima sahaja. Apa sahaja yang berikan saya 'vibe' baik apa salahnya.

Takkanlah kalau dipertemukan dengan lelaki baik, tetapi saya tolak dengan alasan ada Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

"Saya takkan guna penyakit ADHD sebagai alasan. Namun, sudah tentu saya akan berhati-hati jika datang seberapa ramai lelaki pun.

"Saya pula jenis kalau sedang bahagia akan berkongsi dengan sesiapa sahaja. Kadang-kadang orang tak tanya pun saya beritahu," katanya sambil ketawa kepada BH Online.

Sakinah dituduh sengaja ‘jual jiwa’ dalam media sosial, suka berkongsi penyakit ADHD. - Foto IG Sharifah Sakinah
Sakinah dituduh sengaja ‘jual jiwa’ dalam media sosial, suka berkongsi penyakit ADHD. - Foto IG Sharifah Sakinah

Mengulas penyakit ADHD yang dialami sejak beberapa tahun lalu, pelakon Ular, Pekak dan Kimchi Untuk Awak itu berkata, sindrom dialami membuatkannya mudah hilang fokus dalam melakukan tugasan seharian, selain memberi kesan terhadap perhubungan rumah tangganya.

Namun begitu, Sakinah berkata, dia tetap memandang sisi positif di sebalik kekurangan dialami apabila menyifatkan satu peluang untuk lebih mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

"Jujurnya, penyakit ADHD ini memberi kesan dalam perhubungan saya. Bayangkan, saya berkahwin dua kali dalam masa tujuh tahun.

"Sudah tentu saya tidak mahu menjadi toksik kepada orang lain. Saya juga tidak mahu jadi narsis dan tahu masalah sendiri.

"Jadi, saya perlu berundur daripada menyakiti sesiapa. Sebab penghidap ADHD ini tidak tahu kawal emosi.

"Tetapi, bagus juga sebab bila tidak boleh kawal emosi, nak cari siapa lagi? Sudah tentu kita akan cari Allah Yang Maha Esa.

"Jika bukan orang Islam, mungkin cara digunakan mengatasi penyakit ADHD dengan bermeditasi. Jadi, ada sebabnya juga kenapa Tuhan beri ujian, ia menjadi kelebihan untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya," ujarnya.

Lantaran itu, aktres yang pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Kasih Tribute P Ramlee pada 2016 itu cenderung menjadi wanita lebih terbuka dengan berkongsi pelbagai perkara dalam media sosial sebagai salah satu inisiatif meredakan kekacauan dalam jiwa.

Tidak mengendahkan kata-kata sinis segelintir netizen, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini menjelaskan dengan cara berkongsi dalam media sosial membantu memberi kekuatan agar menjadi lebih cekal.

"Secara sinikal, ada yang anggap saya sengaja jual jiwa dalam sosial media. Tetapi, niat saya mahu membantu kerana saya dapat berkongsi pelbagai perkara.

"Jika terlalu banyak pantang larang pun tidak boleh, jadi saya gembira dengan apa yang dilakukan.

"Saya sangat terbuka berkongsi penyakit ADHD. Macam ada sesetengah orang malu nak beritahu yang sudah bercerai.

"Bagi saya, apa yang terbaik saya akan buat untuk diri sendiri saya. Saya juga bukannya jenis suka berpura-pura.

"Jika terlalu berpura-pura, ia akan menyeksa diri sendiri. Paling penting, saya kena terima kekurangan diri dan dalam masa sama, tak lupa berusaha rawatan terbaik untuk memulihkan diri.

"Saya juga terima bahawa saya mempunyai masalah menjadi setia dan tidak boleh menjadi pasangan yang baik," katanya.

Sakinah tidak akan menggunakan alasan penyakit ADHD untuk menolak lamaran cinta. - Foto IG Sharifah Sakinah
Sakinah tidak akan menggunakan alasan penyakit ADHD untuk menolak lamaran cinta. - Foto IG Sharifah Sakinah

Sementara itu, Sakinah menjelaskan, dia tidak mahu orang lain mengalami kesengsaraan seperti dilaluinya akibat kesan penyakit ADHD.

Justeru, katanya, dia lebih terbuka berkongsi mengenai sindrom dialami agar dapat memberi manfaat kepada mereka yang sedang berusaha melawannya.

"Sudah tentu saya akan lebih terbuka untuk berkongsi dan membantu mereka yang menghidapi sindrom ini.

"Sebelum ini, saya hanya fokus untuk mencari duit dan hari-hari kerja. Bila saya didiagnos tiga tahun lalu, saya fikir inilah masanya untuk saya berkongsi kepada khalayak mengenai masalah ini," katanya.

Berita Harian X