KUALA LUMPUR: Konsert penyanyi dan komposer, Hael Husaini yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Februari depan dibatalkan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan wakil syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment, keputusan membatalkan konsert Hael Husaini Live In KL dibuat berikutan Hael menghadapi masalah kesihatan dan dilakukan atas nasihat nasihat doktor.
"Terlebih dahulu, kami memohon maaf sekali lagi kepada semua atas pembatalan konsert Hael Husaini Live In KL.
"Keputusan membatalkan konsert ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor dan paling utama, faktor kesihatan Hael.
"Tahap kesihatan Hael tidak berapa baik sejak kebelangan ini kerana jadual kerja yang terlalu padat.
"Selepas berbincang dengan doktor, Hael dinasihatkan berehat dan tidak melakukan aktiviti seni buat sementara waktu," katanya.
Rocketfuel Entertainment turut menzahirkan rasa dukacita atas pembatalan konsert ini kerana segala persiapan sudah dilakukan.
"Persiapan konsert ini menghampiri 70 peratus dengan pelbagai aksi menarik yang direncanakan dengan lebih kurang 30 lagu bakal dipersembahkan.
"Hanya ucapan terima kasih tidak terhingga dapat disampaikan kepada peminat kerana dapat menerima pembatalan konsert ini walaupun dengan hati berat.
"Semoga peminat menerima berita pembatalan konsert ini dengan hati yang terbuka, terima kasih," ujarnya.
Susulan pembatalan konsert itu, syarikat pengurusan terbabit akan memulangkan semula wang untuk pembeli tiket awal.
"Saya faham kegusaran peminat yang sudah membeli tiket lebih awal. Saya memberi jaminan setiap pembeli akan diberikan 'refund' penuh.
"Bagi proses pengembalian wang buat pembeli tiket konsert, sila hubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019 5881810," katanya.
Terdahulu, Konsert Hael Husaini Live In KL sepatutnya berlangsung pada 4 Disember lalu, namun dituda kepada tarikh baharu iaitu 19 Februari 2023.