Khamis, 29 Disember 2022 | 1:00pm
Bekas wartawan yang juga Penerbit Eksekutif, Saniboey (tengah) bersama barisan pelakon drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu ketika penggambaran di Balai Berita NSTP, baru-baru ini. - Foto IG Saniboey Mohd Ismail
Bekas wartawan yang juga Penerbit Eksekutif, Saniboey (tengah) bersama barisan pelakon drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu ketika penggambaran di Balai Berita NSTP, baru-baru ini. - Foto IG Saniboey Mohd Ismail

Angkat kisah wartawan jenayah

KUALA LUMPUR: Lari daripada konsep kisah cinta yang sering dipaparkan dalam drama bersiri, produksi drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu? tampil dengan mengangkat kisah wartawan meja jenayah.

Menjadikan Filem Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) Ke-88 pada 2016, iaitu Spotlight sebagai inspirasi, drama arahan Megat Shahrizal dan Faizul Rashid ini diilhamkan daripada kisah benar.

Ditemui pada sesi penggambaran Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Megat Shahrizal berkata, drama itu adalah pengalaman dilalui wartawan meja jenayah di akhbar Harian Metro.

"Karakter dalam drama ini adalah fiksyen, manakala jalan cerita diilhamkan daripada kenalan dan perjalanan dilalui bekas wartawan, Datuk Saniboey Mohd Ismail yang juga Penerbit Eksekutif drama ini.

"Drama ini fokus kepada kisah wartawan meja jenayah dan bagaimana mereka mahu menyelesaikan sesuatu kes jenayah. Kes yang diketengahkan dalam drama ini juga adalah berdasarkan kes yang pernah terjadi di Malaysia.

"Jadi, saya boleh katakan, drama ini berbeza daripada naskhah sedia ada yang banyak mengetengahkan kisah cinta. Drama ini menelusuri perjalanan wartawan dalam melaksanakan penulisan jenayah.

"Saya percaya drama ini adalah naskhah tempatan pertama yang mengangkat kisah dunia kewartawanan. Itu yang membuatkan drama ini menarik kerana kami memaparkan kisah dari sudut pandangan wartawan," katanya kepada BH Online.

Sebelum 'berkampung' seminggu di Balai Berita, drama dibintangi Zahirah MacWilson, Aloy Paradoks, Wan Raja dan Mustaqim Bahadon itu menjalani penggambaran di beberapa lokasi lain di ibu negara. Ia diterbitkan oleh produser, Latiff Mohaideen dan Razif Kasmar.

Zahirah tercabar mendalami watak wartawan jenayah, malah perlu menjayakan karakter perokok sedangkan tidak pernah menghisap rokok. - Foto IG Zahirah MacWilson
Zahirah tercabar mendalami watak wartawan jenayah, malah perlu menjayakan karakter perokok sedangkan tidak pernah menghisap rokok. - Foto IG Zahirah MacWilson

Megat Shahrizal berkata, drama itu mengetengahkan Zahirah sebagai wartawan tegas, berbeza dengan watak yang pernah dibawa aktres itu sebelum ini.

"Zahirah tercabar mendalami watak wartawan. Misalnya, apabila dia perlu menjayakan karakter perokok sedangkan dia sendiri tidak menghisap rokok. Dia perlu belajar menghisap rokok agar tidak nampak kekok. Namun, Zahirah berjaya menghidupkan watak dengan baik.

"Digandingkan pula Aloy yang sering membawa watak komedi. Kali ini, Aloy diberi peluang menghidupkan watak serius. Aloy mengakui agak gementar. Namun, saya percaya dia menjayakan watak Rozimi dengan baik kerana dia aktor terlatih.

"Jadi, kami ada barisan pelakon yang bagus untuk menarik orang ramai menonton," katanya.

Zahirah tidak menafikan sukar menghidupkan watak Fatimah Umar, namun sangat teruja.

"Saya membawa watak Fatimah iaitu wartawan meja jenayah. Dia wanita tegas dan menjadi wartawan kerana mahu menegakkan keadilan untuk wanita.

"Bagi saya, drama ini memaparkan kisah menarik dan mencabar. Saya tidak pernah menjayakan watak seperti ini, selalunya, saya banyak melakonkan watak lemah lembut.

"Jadi, saya percaya drama ini ada tarikan tersendiri. Apatah lagi, kisah yang diketengah diinspirasikan daripada cerita benar," katanya yang menjadikan lakonan Rachel McAdams dalam Spotlight sebagai rujukan dalam menghayati watak Fatimah.

Antara babak dalam drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu terbitan Razor Edge Production untuk siaran Tonton. - Foto IG Zahirah MacWilson
Antara babak dalam drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu terbitan Razor Edge Production untuk siaran Tonton. - Foto IG Zahirah MacWilson

Ditanya soal cabaran menjayakan watak perokok, Zahirah berterima kasih kepada kru produksi yang banyak membantunya.

"Agak susah untuk menjayakan watak perokok sebab saya tidak menghisap rokok. Jadi, hendak tampak seperti perokok realistik, saya banyak bertanya kepada kru produksi.

"Merekalah yang banyak mengajar agar saya tidak kekok. Rokok yang disediakan bukanlah mengandungi tembakau dan nikotin yang tinggi.

"Pastinya, untuk kita menjayakan sesuatu watak, ada hadnya. Saya mengakui merokok tidak baik untuk kesihatan, namun ramai melakukan perkara sama," katanya.

Aloy mengakui seronok dapat menghidupkan watak utama iaitu Rozimi dan bekerjasama dengan Zahirah buat kali pertama.

"Rozimi adalah wartawan meja jenayah di Harian Metro. Dia wartawan yang berpengalaman dan sering menerima tugasan berprofil tinggi.

"Rozimi banyak bekerjasama dengan Fatimah. Namun, tidak seperti Fatimah, Rozimi menjalankan tugasan mengikut kehendak majikan dan tidak gemar bermusuh dengan pihak lain.

"Selain mengancam kerjayanya, Fatimah menjadi pesaing utamanya. Namun, pada akhirnya, gabungan Fatimah dan Rozimi inilah yang berjaya menyelesaikan kes," katanya yang mencipta keserasian dengan Zahirah selepas seminggu berada di set penggambaran.

Aloy berkata, jika disambung, kemungkinan keserasian antara watak Fatimah dan Rozimi akan tampak lebih menyerlah.

"Sebab dalam musim pertama ini, mungkin kami masih mencari keserasian. Jadi, untuk musim seterusnya, mungkin gandingan kami nampak lebih bagus.

"Saya suka bekerja dengan Zahirah sebab dia pelakon yang baik dan mudah bekerjasama," katanya.

Diterbitkan Razor Edge Production, drama Metro Crime Series: Siapa Lelaki Itu? bakal ditayangkan awal 2023 menerusi aplikasi Tonton.

Berita Harian X