KUALA LUMPUR: Siapa sangka pertanyaan tiket perlawanan akhir bola sepak SEA Games 2017 menyatukan pelakon Anita Baharom, 39, dan suaminya, Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, sebagai pasangan suami isteri.
Biarpun itulah kali terakhir berhubung, namun jodoh sememangnya rahsia Allah. Anita dan Engku Isyamuddin yang juga ahli perniagaan kembali bertemu sejurus selesai menjalani tempoh edah selepas pemergian arwah suami, Allahyarham Mohd Ismadi Ismail pada 1 Januari lalu.
Anita dan Engku Isyamuddin diijab kabul menerusi majlis akad nikah di Bizmilla Garden Hall, Subang Jaya, Khamis lalu. Biarpun tempoh perkenalan singkat, pelakon drama Dunia Baru itu percaya semua aturan Yang Maha Esa.
Justeru, Anita tidak kisah biarpun ada yang mempersoalkan keputusan berkahwin meskipun belum cukup setahun pemergian arwah suami.
"Perkahwinan ini tidak melanggar hukum, jadi tidak salah saya mengambil keputusan berkahwin lagi.
"Lagipun, tidak ada mana-mana dalil yang melarang balu berkahwin lain kurang setahun daripada tempoh pemergian suami," katanya kepada
BH Online ketika ditemui selepas majlis akad nikah.
Anita berkata, perkara baik haruslah dipercepatkan bagi mengelakkan fitnah.
Malah, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia turut mendapatkan pandangan ahli keluarga, sahabat dan orang alim.
"Keputusan berkahwin tidak dibuat secara terburu-buru. Kami bertanyakan pendapat ramai dan rata-rata menasihati agar kami mempercepatkan perkara baik bagi mengelak fitnah.
"Apapun, saya berterima kasih kepada Allah kerana melancarkan proses pernikahan sejak awal lagi.
"Saya lega biarpun majlis dirancang dalam tempoh sebulan, tetapi segala-galanya dipermudahkan," kata Anita.
Berkongsi lanjut mengenai perhubungan, Anita mendedahkan, dia dilamar pada 19 Oktober lalu yang juga ulang tahun kelahiran suaminya.
"Suami melamar saya dan minta diberi peluang menyayangi saya dan anak-anak.
"Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju. Apabila saya ceritakan pada anak sulung, dia teruja dan mahu saya segera memberikan jawapan.
"Apabila anak memberikan lampu hijau, tentulah saya lebih seronok," katanya.
Ujar Anita lagi, dia menganggap seolah-olah diberikan peluang kedua apabila bertemu jodoh sekali lagi.
"Ia seperti dunia baru buat saya, Allah seolah-olah memberikan peluang kedua untuk saya memperbaiki lagi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu mithali.
"Pengalaman perkahwinan sebelum ini juga indah, tetapi saya ingin memperindahkan lagi agar berpimpin tangan bersama suami dan anak-anak untuk ke syurga," katanya.
Mengulas destinasi bulan madu, Anita berkata, dia tidak kisah asalkan sentiasa berdua bersama suami.
"Soal zuriat, saya serahkan ke tangan takdir. Ada rezeki cepat, kami terima," katanya.
Sementara itu, Engku Isyamuddin berkata, dia tertarik melamar Anita sebagai suri hidupnya kerana terpikat dengan kemanjaan dan sikap penyayang isterinya.
Selain itu, katanya, dia juga bersyukur Anita boleh menerima keluarga besarnya.
"Saya perhatikan Anita sangat manja serta penyayang. Saya suka melihat Anita melayani anak-anaknya dan saya pula memang sukakan kanak-kanak," katanya yang juga bapa tunggal kepada lapan cahaya mata berusia antara 6 hingga 24 tahun menerusi tiga perkahwinan terdahulu.
Menerusi perkahwinan Allahyarham Mohd Ismadi yang juga penerbit televisyen selama 16 tahun, Anita dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.