Isnin, 26 Disember 2022 | 4:30pm
Marion sedih apabila segelintir netizen salah faham niat baiknya memberi pendedahan kepada anak-anaknya tradisi menyambut Krismas dan Tahun Baharu Cina. - Foto IG Marion Caunter
Marion sedih apabila segelintir netizen salah faham niat baiknya memberi pendedahan kepada anak-anaknya tradisi menyambut Krismas dan Tahun Baharu Cina. - Foto IG Marion Caunter

Sambut Krismas hanya tradisi keluarga, tak ubah pegangan agama

KUALA LUMPUR: Perayaan Krismas memberi pengertian bermakna buat Marion Caunter, 42, biarpun hanya disambut sehari sahaja iaitu pada setiap 25 Disember.

Semalam, golongan selebriti tidak terkecuali memanfaat masa terluang bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai menyambut Krismas selepas dua tahun berdepan sekatan pandemik COVID-19.

Bekas hos program One in a Million dan Channel [V], Marion mengakui, dia akan meluangkan masa bersama keluarga sempena Krismas, setiap tahun.

Tegas Marion, ini bukanlah bermaksud mengenepikan pegangan agamanya sebagai seorang Islam, sebaliknya hanya mahu menghidupkan tradisi peninggalan mendiang bapanya.

"Setiap kali Krismas, pasti ramai mempersoalkan kenapa saya masih menyambut Krismas. Sebenarnya, saya bukan berniat menyambutnya, sebaliknya saya hanya berkumpul bersama keluarga.

"Mendiang bapa meninggal dunia ketika saya berusia 21 tahun. Sebagai penganut Kristian, sambutan Krismas adalah penting buat bapa.

"Saya menyambut Krismas selama 30 tahun sebelum saya berkahwin. Bagi saya, kami hanya menghidupkan tradisi, itu sahaja.

"Walau apa yang terjadi, kami akan tetap bersama ketika menyambut Krismas. Memandangkan adik baru melahirkan anak, kami sekeluarga meraikan Krismas bersama di Kuala Lumpur, tahun ini," katanya kepada BH Online.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia juga tidak membawa anaknya ke gereja seperti rutin penganut Kristian lain.

Justeru, Marion berkata, dia sedih apabila ada segelintir netizen salah faham niat baiknya yang hanya mahu berkumpul bersama keluarga.

"Jujurnya, saya sedih. Ibu berbangsa Cina dan mendiang bapa pula Eurasia. Jadi, saya juga meraikan Tahun Baharu Cina, tetapi ia tidak mengubah pegangan saya sebagai orang Islam.

"Dan saya rasa inilah kecantikan Malaysia, kita perlu menghormati budaya dan tradisi sesebuah bangsa. Dan suami sangat menyokong.

"Saya juga mahu anak-anak tahu kehidupan sebelum saya berkahwin. Namun, sedihnya anak-anak tidak berpeluang bertemu berjumpa datuk mereka.

"Jadi, apabila bersama keluarga sedikit sebanyak anak-anak tahu kehidupan saya sebelum berkahwin," kata bekas penyampai radio, Hitz FM itu.

Marion sentiasa mendapat galakan suaminya, SM Nasarudin yang menghormati budaya dan tradisi sesebuah bangsa. - Foto IG Marion Caunter
Marion sentiasa mendapat galakan suaminya, SM Nasarudin yang menghormati budaya dan tradisi sesebuah bangsa. - Foto IG Marion Caunter

Marion memeluk Islam ketika mendirikan rumah tangga dengan usahawan empayar Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, sambutan Krismas bersama mendiang bapanya antara momen tidak boleh dilupakan.

"Pagi Krismas ibu akan memasak sarapan dan kami sekeluarga membuka hadiah bersama. Masa kecil, pemberian dan pembukaan hadiah adalah antara momen sentiasa dinanti-nantikan.

"Saya masih mengingati momen membuka hadiah bersama mendiang bapa sehingga hari ini. Jujurnya, saya merinduinya.

"Krismas sentiasa berkisarkan mengenai keluarga, begitu juga sambutan Aidilfitri," katanya.

Marion mendirikan rumah tangga dengan pewaris Naza Group, SM Nasarudin pada Disember 2010. Selepas 12 tahun bergelar isteri, Marion dikurniakan tiga cahaya mata, Leia, Lana dan Liam.

Berita Harian X