KUALA LUMPUR : Sebelum ini, pelakon Nadiya Nisaa sering menolak tawaran membintangi naskhah seram berikutan sukar mengawal rasa takut.
Justeru, filem arahan Dain Said iaitu Harum Malam menjadi karya genre seram pertama yang dijayakannya.
Nadiya mengaku menerima tawaran berlakon dalam filem Dain selepas dipujuk secara baik.
"Harum Malam adalah filem seram pertama saya. Sebelum ini, saya selalu tolak sebab penakut.
"Jadi, apabila penerbit menyatakan hasrat Dain mahu saya bawa watak Dina dalam filem ini, saya tolak.
"Walaupun saya sangat mengagumi Dain dan mahu terbabit dalam projeknya, saya terpaksa tolak.
"Tetapi mereka 'tipu' saya sedikit dengan menyatakan saya tidak akan bawa watak hantu atau dihantui. Sebaliknya, saya hanya menghidupkan watak Dina iaitu pengamal perubatan yang mempunyai deria keenam.
"Berikutan itu, saya terima. Tidak sangka pula saya perlu menjalani proses solekan khas untuk menjayakan watak saya," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Nadiya yang ditemui pada sesi temubual bersama pelakon Harum Malam baru-baru ini memberitahu, pembabitannya dalam projek terbabit membuka mata dalam memahami naskhah seram dengan lebih baik.
"Walaupun saya takut, pengalaman menjayakan Harum Malam membuka mata saya mengenai pembikinan filem seram. Prosesnya tidaklah seram seperti yang kita bayangkan.
"Saya juga mula memahami mengenai kehidupan alam lain. Pemahaman itulah yang saya dapat untuk yakin berhadapan dengan mereka dalam filem ini.
"Keyakinan itulah yang ditekan Dain sehingga saya berjaya mengatasi rasa takut. Bukan kepada saya sahaja, Dain beri keyakinan kepaada setiap pelakon untuk menjiwai watak masing-masing.
"Apabila kita sudah dapat bawa watak, akhirnya, Dain berterima kasih. Ini secara tidak langsung kita dapat merasakan sumbangan diberi," katanya.
Tambah Nadiya, nilai seni dan jalan cerita yang diketengahkan menerusi Harum Malam ini menjadi antara perkara yang perlu dipandang tinggi.
"Apa yang saya suka mengenai filem arahan Dain ini adalah seni yang ditonjolkan. Ia bukanlah filem yang sekadar mahu menakutkan orang, sebaliknya, naskhah ini adalah suatu bentuk seni," katanya.
Harum Malam berkisarkan pergelutan pelatih ilmu perubatan tradisional dikenali sebagai Iqbal lakonan Idan Aedan yang mampu melihat makhluk ghaib.
Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan lqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk membezakan antara realiti dan ghaib.
Berlaku suatu peristiwa menyebabkan rakan-rakan dan keluarga lqbal terdedah dengan makhluk ghaib berbahaya. Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa dimilikinya untuk melawan makhluk terbabit.
Selain Nadiya dan Idan, filem terbitan Apparat dengan kerjasama D'Ayu Pictures dan Skop Productions ini dibintangi Bront Palarae, Remy Ishak, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein.
Filem Harum Malam akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai 9 Februari depan.