Selasa, 20 Disember 2022 | 3:00pm
Bagi Noki, sejauh mana Tuju berlari pasti tahu di mana akar umbi dan pulang ke pangkuan siapa.
Bagi Noki, sejauh mana Tuju berlari pasti tahu di mana akar umbi dan pulang ke pangkuan siapa.

K-Clique terasa hati sikap Tuju

KUALA LUMPUR: Isu dakwaan kumpulan hip hop popular, K-Clique berselisih faham dengan salah seorang anggota, Tuju mula jadi bualan apabila kelibat penyanyi itu tidak kelihatan ketika kumpulannya menjayakan Konsert Havoc Midnight pada September lalu.

Walaupun menafikannya, namun ketiadaan Tuju pada majlis perkahwinan salah seorang anggota kumpulan itu, Fareed seakan mengesahkan spekulasi itu.

Enggan mengeruhkan keadaan, Noki berharap persoalan itu ditanyakan kepada Tuju untuk mengelakkan berlaku salah faham.

"Saya tidak mampu berkata apa-apa kerana semuanya berpandukan daripada Tuju.

"Kalau nak tahu cerita sebenar lebih baik tanya Tuju sendiri. Bagi pihak K-Clique, tiada apa yang perlu saya jelaskan," katanya kepada BH Online.

Noki berkata, Tuju kini berada di Sabah dan khabarnya, akan kembali semula ke Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

"Kami sudah tidak berhubung sejak tiga hingga empat bulan lalu. Sepanjang tempoh ini, kami tidak berkomunikasi langsung dengannya.

"Ini adalah fasa biasa untuk kumpulan seperti K-Clique. Ini kerana kami sudah kenal sejak kecil lagi.

"Jadi, bila berlaku perkara seperti, rasanya tidak perlu untuk difikirkan sangat. Mungkin Tuju ada masalah keluarga dan banyak tanggungan.

"Kami beri ruang untuk Tuju menyelesaikan masalahnya. Saya percaya kalau Tuju sudah bersedia, dia akan cari kami semula," katanya.

Ketiadaan Tuju memberi kesan kepada K-Clique.
Ketiadaan Tuju memberi kesan kepada K-Clique.

Mengulas adakah terasa hati dengan Tuju, Noki tidak menafikan.

"Jujurnya, memang terasa apabila ramai bertanya mengapa Tuju tidak lagi bersama K-Clique.

"Kenapa Tuju tidak membuat persembahan bersama. Penganjur juga pelik kenapa kami tinggal bertujuh.

"Ia juga memberi kesan kepada K-Clique. Tetapi, tidak mengapa, benda dah nak jadi. Kami hanya mampu bersabar dan tunggu apa yang akan berlaku seterusnya," katanya.

Dijolok persoalan jika Tuju mengambil keputusan meninggalkan kumpulan, Noki berkata, K-Clique ditubuhkan bukan semata-mata menjadi penyanyi, tetapi lebih kepada keluarga sedarah.

"Bagi saya, sejauh manapun Tuju berlari, dia pasti akan tahu di mana akar umbinya.

"Tuju pasti tahu pulang ke pangkuan siapa," katanya.

Selain Noki, Tuju dan Fareed, K-Clique turut dianggotai MK, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.

Lagu nyanyian Noki dan MK berjudul Payung Pelangi berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37) yang bakal berlangsung pada 12 Februari depan.

Berita Harian X