Sabtu, 17 Disember 2022 | 3:00pm
Emma dan permata hatinya, Gabriel yang berusia dua tahun. Foto IG Emma Maembong
Emma dan permata hatinya, Gabriel yang berusia dua tahun. Foto IG Emma Maembong

Emma nanti rezeki anak kedua

KUALA LUMPUR : Diburu desas desus konon hamil anak kedua, aktres, Emma Maembong, 30, enggan mengulas lanjut kemungkinan dirinya dan pasangan mahu membesarkan keluarga.

Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail bagaimanapun mengakui dia dan suami, Muhammad Shazli Azhar, 35, berharap serta berusaha mendapatkan adik buat anak sulung, Shariq Gabriel yang berusia dua tahun.

Emma menjelaskan soal zuriat adalah perkara sensitif dan dia mahu lebih berhati-hati membicarakan mengenainya.

"Setakat ini, saya tidak mahu cakap apa-apa sebab saya dan suami masih mencuba.

"Kalau saya kata ada (hamil) tetapi apa yang terjadi sebaliknya, saya akan sakit. Sama juga kalau saya kata tiada (tidak hamil), kemudian, tiba-tiba ada, saya gembira.

"Hal zuriat ini sensitif. Terkadang tidak semua orang akan gembira apabila tengok kita gembira.

Biasa dengan ahli keluarga ramai, Emma dan suami mahu mendapatkan adik kepada anak sulung, Gabriel. Foto IG Emma Maembong
Biasa dengan ahli keluarga ramai, Emma dan suami mahu mendapatkan adik kepada anak sulung, Gabriel. Foto IG Emma Maembong

"Tapi saya mengaku mengharap sangat (dikurniakan anak kedua)," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini mengaku dirinya dan suami mahu memiliki anak ramai agar kemeriahan hidup berkeluarga lebih terasa.

"Saya dan suami mempunyai keluarga besar. Tetapi apabila di rumah, hanya kami bertiga, rasanya agak sunyi.

"Mungkin keadaan huru-hara itu yang kami mahukan.

"Kalau ikutkan, memang kami mahukan anak lagi. Kalau ada rezeki itu adalah. Saya sudah mencuba sejak selepas pantang anak pertama.

"Doa yang baik-baik sahaja untuk saya," katanya.

Sementara itu, Emma mengaku memasang niat untuk menutup aurat seperti awal kemunculannya dalam dunia lakonan pada 2012.

Emma mengaku rindu dengan penampilannya sebelum ini dan akan cuba berusaha ke arah itu.

"Takkan saya hendak macam ini sampai tua. Bagi setiap wanita yang beragama Islam, masing-masing mahu menjadi baik... Begitu juga dengan saya.

"Tiada sesiapa yang mahu buat perkara tidak baik dan kekal dengan imej yang macam ini (tidak menutup aurat)," katanya.

Pelakon yang baru-baru ini muncul dengan telefilem Nyang itu berkata, setiap komen dan nasihat menjurus ke arah kebaikan pasti diterima dengan berlapang dada.

Emma menjelaskan dia akan kembali bertudung apabila sudah tiba masanya.

"Dahulu saya pernah pakai tudung, insya-Allah suatu hari nanti, saya pasti akan ke arah itu semula. Apabila tiba masanya, saya akan pakai (tudung).

"Saya takkan macam ini sampai tua. Saya pun hendak juga (pergi) ke arah kebaikan kerana saya bukannya makin muda," katanya ditemui pada majlis sidang media The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3) di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Pada awal 2019, Emma membuat keputusan tidak lagi berhijab.

Emma melangsungkan perkahwinan bersama Muhammad Shazli pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan cahaya mata kira-kira sembilan bulan selepas itu.

Berita Harian X