KUALA LUMPUR: Bekas anggota kumpulan VE, Adeep Nahar menegaskan Bukan Sesiapa Dow yang digunakan dalam laman Instagram hanya nama sementara.
Adeep berkata, dia bersama Cham, Hakim dan Fakhiz masih belum memutuskan nama kumpulan vokal harmoni yang ditunjangi mereka berempat itu.
"Bukan Sesiapa Dow bukan nama sebenar, hanya buat sementara waktu. Kami belum menetapkan nama yang dipilih.
"Ramai ingat kami menggunakan nama Bukan Sesiapa Dow. Takkanlah kami menggunakan nama ini untuk kumpulan yang memperjuangkan muzik R&B.
"Kami sedang mencari nama yang bersesuaian. Sebabnya, nak cari nama kena pilih yang kena dengan konsep dibawa.
"Tak mungkin kami nak pilih nama sebarangan. Insya-Allah, kami akan umum nama yang dipilih bila mengeluarkan single terbaharu," katanya ketika dihubungi BH Online.
Katanya, single baharu dirancang keluar pada awal tahun hadapan.
Tambah Adeep, mereka sudah mempunyai beberapa pilihan lagu dan hanya menunggu masa untuk merakamkannya.
"Kami ada tiga hingga empat lagu, antaranya ditulis oleh komposer Azlan Abu Hassan.
"Namun, kami belum lagi merakamkannya, kami dijangka memasuki studio rakaman hujung minggu ini," katanya.
Sementara itu, Adeep berkata, dia tidak kisah sekiranya terus dibayangi VE, apatah lagi, mereka adalah bekas anggota kumpulan harmoni itu.
"Sudah tentu kami akan dibayangi VE. Ini kerana kami juga bekas anggota kumpulan VE.
"Jadi, bila keluar pun, orang akan ingat kami pernah bersama VE.
"Ia bukan perkara yang akan mengganggu kami. Kalau orang kaitkan, tak mengapa kerana lama kelamaan orang lupa juga," katanya.
Tambah Adeep, meskipun tiada nama tetap, mereka tiada masalah untuk memenuhi undangan nyanyian, malah sudah menerima beberapa jemputan di beberapa negeri.
"Sebenarnya, tak sukar sebab orang tahu kami belum ada nama, jadi ia bukanlah masalah.
"Ada sahaja undangan diterima, antaranya Februari tahun depan.
"Kami turut menerima undangan mengadakan jelajah di beberapa negeri seperti Kedah, Johor dan Melaka pada Ramadan," katanya.
Terdahulu, Adeep, Cham, Hakim dan Fakhiz mengumumkan mengundurkan diri dari kumpulan VE menerusi sidang media, baru-baru ini.
Keputusan itu sukar untuk dibuat, namun mereka nekad kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE.
Ia susulan salah seorang anggota asal VE, Zaf menyuarakan agar mereka menggunakan nama baharu jika mahu terus aktif selepas menyertai musim kesembilan program realiti, Gegar Vaganza (GV9).