Rabu, 7 Disember 2022 | 3:07pm
Ezad bukan tiada impian mengadakan konsert secara solo berskala besar, tetapi namanya belum cukup kuat untuk berbuat demikian.
Ezad bukan tiada impian mengadakan konsert secara solo berskala besar, tetapi namanya belum cukup kuat untuk berbuat demikian.

Ezad masih bergantung kepada Exists?

KUALA LUMPUR: Kontroversi penganjuran konsert di hadapan Masjid Zahir di Alor Star, Kedah pada Oktober lalu hampir menyebabkan Mini Showcase Ezad Lazim Jiwa & Lagu yang berlangsung di Aseana Resort & Spa di Langkawi dibatalkan, baru-baru ini.

Beberapa kali penganjur, New Dimension SVC Sdn Bhd terpaksa menghadap pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun akhirnya hasrat vokalis Exists, Ezad Lazim mengadakan showcase solonya terlaksana juga.

Ezad berkata, dia mulanya kurang yakin mini showcase itu akan menjadi kenyataan.

Katanya, selain lokasi jauh, situasi semasa negara yang baru seminggu beralih tampuk pimpinan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 menjadi kebimbangan penyanyi asal Kedah itu.

Namun, katanya, dia bersyukur pada saat akhir bukan sahaja konsert berjaya diadakan, malah jualan tiket selama dua malam turut mendapat sambutan.

Lebih menggembirakan, katanya, peminat dari Johor Bahru, Sarawak dan Singapura sanggup terbang ke Langkawi semata-mata untuk menyaksikan persembahan solo yang julung kali diadakan.

"Mulanya saya berdebar adakah orang akan datang menyaksikan showcase solo saya memandangkan diadakan jauh di Langkawi. Namun, siapa sangka jualan tiket selama dua malam laris.

"Selain peminat datang dari jauh, ada pula yang tidak merancang menyaksikan persembahan, tetapi nampak banting yang diletakkan di tepi jalan, tiba-tiba terpanggil membeli tiket.

"Walaupun persembahan selama dua malam berskala kecil, tetapi saya tetap berpuas hati dengan sambutan diterima. Siapa tahu mungkin ini akan membuka jalan untuk saya mengadakan persembahan berskala besar pula selepas ini," katanya kepada BH Online.

Pada malam penuh makna itu, Ezad menyanyikan lebih 20 lagu dalam persembahan selama dua jam di bawah pimpinan muzik muzik, Azdrin Azhar.

Selain lagu Exists dan solo popular, Ezad turut menyanyikan lagu popular penyanyi lain seperti dari kumpulan Alleycats, Spring, Ella, Search serta banyak lagi.

Ezad berkata, konsep persembahannya berbeza Konsert Exists Reunion yang berlangsung di Shah Alam pada 2019.

Ezad terharu peminat dari jauh hadir memberi sokongan menyaksikan Mini Showcase Ezad Lazim Jiwa & Lagu di Aseana Resort & Spa, Langkawi, baru-baru ini.
Ezad terharu peminat dari jauh hadir memberi sokongan menyaksikan Mini Showcase Ezad Lazim Jiwa & Lagu di Aseana Resort & Spa, Langkawi, baru-baru ini.

Katanya, mini showcase ini berbeza konsert reunion kerana ia bersama band dan berskala besar.

"Saya lebih santai dalam mini showcase ini. Selain itu, saya tidak hanya menyanyikan lagu Exists sahaja, tetapi turut menyanyikan lagu solo dan penyanyi lain.

"Pada mulanya, saya bimbang juga hendak menyanyikan lagu orang lain, tetapi tak sangka penonton hadir terhibur dengan persembahan saya.

"Seandainya ada lagi rezeki mengadakan persembahan secara solo, saya ingin membawakan lebih banyak genre lagu lagu seperti tradisional dan zaman 1950-an.

"Apapun, saya berterima kasih kepada New Dimesion SVC kerana mempercayai dan memberi peluang kepada saya untuk mengadakan mini showcase ini," katanya.

Sementara itu, Ezad berkata, dia bukan tidak mempunyai impian mengadakan persembahan secara solo berskala besar, tetapi namanya masih belum cukup kuat untuk berbuat demikian.

Malah, penyanyi berusia 43 tahun itu tidak menafikan masih perlu bergantung kepada kumpulan Exists untuk mengadakan persembahan besar.

"Mungkin untuk mengadakan persembahan solo berskala besar masih memerlukan masa. Saya tidak nafikan memerlukan Exists dan mereka juga memerlukan saya. Jadi, kami saling memerlukan.

"Namun, saya tetap berharap ada pihak sudi mengundang saya untuk mengadakan konsert solo sendiri suatu masa nanti," katanya.

Pada malam itu, antara lagu dinyanyikan seperti Kerana Percayakan Siti, Jesnita, Di Rantai Di Gelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu, Meniti Suratan, Butakah Cinta dan banyak lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, New Dimension SVC, Ros Sazilla Rashid berkata, Mini Showcase Ezad Lazim Jiwa & Lagu bakal dijual kepada stesen televisyen (TV).

"Kami sedang mengenal pasti stesen TV bersesuaian," katanya.

Berita Harian X