Isnin, 5 Disember 2022 | 6:44pm
Adeep (kanan) meluahkan rasa kesal dan memilih memutuskan persahabatan dengan anggota VE asal yang membangkitkan penggunaan nama kumpulan itu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Adeep (kanan) meluahkan rasa kesal dan memilih memutuskan persahabatan dengan anggota VE asal yang membangkitkan penggunaan nama kumpulan itu. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Enggan jadi racun, anggota VE baharu undur diri

PETALING JAYA: Enggan kontroversi membabitkan VE berlanjutan, akhirnya Cham, Adeep Nahar, Hakim dan Fakhiz mengambil keputusan berundur daripada kumpulan itu, hari ini.

Mengumumkannya dalam sidang media, petang ini, Adeep dengan sebak berkata, mereka membuat keputusan sukar kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE.

"Saya berterima kasih kepada kumpulan VE kerana mengajak saya menyertai kumpulan ini pada 2018. Saya berterima kasih kepada Zaf, Lah dan Cham.

"Saya berbesar hati berpeluang menyertai kumpulan ini kerana VE adalah salah satu kumpulan R&B terbaik di Malaysia.

"Namun, hari ini, saya mengundurkan diri. Saya juga tidak mahu ada kena mengena langsung dengan VE.

"Ini kerana saya berdiri atas kaki sendiri selama ini," katanya kepada BH Online.

Adeep berkata, dia mempersembahkan apa yang termampu sepanjang 11 minggu dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

"Saya minta maaf, saya isytiharkan keluar VE, mulai hari ini," katanya.

Anggota VE baharu membuat keputusan sukar kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota VE baharu membuat keputusan sukar kerana enggan memanjangkan isu yang boleh memburukkan nama VE. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Keputusan Adeep disokong tiga anggota lain, Cham, Akim dan Fakhiz yang turut mengumumkan pengunduran mereka.

Tambah Adeep, bukan mudah membuat keputusan atas rasa kasih dan sayang terhadap VE. Namun, keputusan tetap diambil kerana enggan terus menjadi 'racun' yang merosakkan kumpulan itu.

"Bukan senang nak buat keputusan kerana kasih sayang kami kepada VE sangat tinggi.

"Dan bukan juga tugasan mudah buat kami membawa nama VE walaupun dihamun dan dimaki.

"Kami tetap terima sebab hormat kepada salah seorang anggota kumpulan VE yang ada bersama kami.

"Namun, kami enggan menjadi racun dalam kumpulan ini. Apa yang terjadi membebankan dan memburukkan saya sebagai anggota VE baharu. Jadi, benda ini tidak seronok.

"Kami sudah menjadi bapa, berhenti jadi budak-budak. Saya pernah dengar kata Mufti Menk, jangan terlampau rapat dengan seseorang sebab musuh takkan buat seperti mana kawan akan lakukan kepada kita," katanya.

Sementara itu, Adeep meluahkan rasa kesal dan memilih memutuskan persahabatan dengan anggota VE yang membangkitkan penggunaan nama kumpulan itu.

"Saya anggap dia sahabat, daripada saya jatuh sampai saya naik semula. Apa kesalahan kami sehingga diperlakukan seperti ini?

"Kami cuba menaikkan nama VE dan segala-galanya bukan mudah. Cemuhan orang kami boleh terima, tetapi cemuhan anggota asal VE sukar diterima.

"Kami tinggalkan keluarga dan anak-anak untuk semua ini. Tetapi, tak mengapa, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami bersama VE.

"Kami berempat tetap sahabat sampai hari ini," katanya.

Terdahulu, salah seorang anggota asal VE iaitu Zaf menyarankan mereka menggunakan nama baharu jika mahu terus aktif selepas menyertai GV9.

Zaf memberi alasan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz bukanlah anggota asal kumpulan vokal berharmoni yang ditubuhkan sejak 1997 itu.

Sebaliknya, dakwa Zaf, VE diasaskannya bersama Shah dan Lah. Cham menyertai VE pada 2000, disusuli Damian Mikhail pada 2003.

Berita Harian X