KUALA LUMPUR : "Jika mahu terus aktif, gunalah nama sendiri."
Itu kenyataan ketua kumpulan VE, Zaf kepada Cham, Adeep Nahar, Hakim dan Fakriz yang menyarankan mereka menggunakan nama baharu jika mahu terus aktif selepas menyertai musim kesembilan program realiti, Gegar Vaganza (GV9).
Zaf memberi alasan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz bukanlah anggota asal kumpulan vokal berharmoni yang ditubuhkan sejak 1997 itu.
Sebaliknya, dakwa Zaf, VE diasaskannya bersama Shah dan Lah. Tambahnya, Cham menyertai VE pada 2000 disusuli Damian Mikhail pada 2003.
"Jika mahu terus bergiat aktif selepas GV9, tubuhlah kumpulan baharu tanpa menggunakan nama VE.
"Sebagai anggota asal kumpulan VE, saya tidak benarkan sesiapa pun mengakui mereka adalah ahli asal yang masih bertahan dalam VE.
"Itu semua mengarut... Jika betul ingin kembali aktif, gunalah nama sendiri. Saya yakin mereka sudah berjaya mengumpul peminat sendiri selepas 11 minggu berada dalam GV9.
"VE adalah VE... Semua orang tahu. Sekiranya mereka masih mahu menggunakan nama VE, mereka berdepan tekanan. Jadi, kenapa ingin mencari masalah?" katanya pada sidang media maya baru-baru ini.
Zaf menganjurkan sesi sidang media kerana terkilan dengan tindakan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz mewujudkan kumpulan aplikasi WhatsApp baharu sejak menyertai GV9 yang dianggap suatu tindakan mahu menyingkirkan dirinya.
Zaf mengaku berdiam diri sepanjang GV9 berlangsung kerana tidak mahu mengganggu tumpuan Cham, Adeep, Hakim dan Fakriz terhadap pertandingan itu.
Namun, katanya, sekarang dianggap masa sesuai untuk bersuara berikutan GV9 sudah melabuhkan tirai. Apa yang mendorong Zaf meluahkan perasaannya kerana dia keliru statusnya bersama VE.
Zaf atau nama sebenar, Zafri Nazarudin berkata, dia tidak menyertai GV9 bukan kerana tidak menyokong rakan-rakannya itu, sebaliknya, terikat dengan komitmen kerja yang memerlukan dirinya keluar daerah.
"Saya bersuara bukan sebab cemburu tidak dapat sertai GV9 sedangkan saya individu bertanggungjawab memastikan VE menyertai program itu.
"Saya buat keputusan tidak sertai GV9 kerana mempunyai kerjaya hakiki dalam bidang lain yang memerlukan saya berada di luar daerah.
"Untuk tidak menyusahkan anggota kumpulan yang lain kerana mustahil tampil bertiga, saya minta VE cari penyanyi gantian.
"Kami kemudian bersetuju Fakriz menggantikan tempat saya buat sementara waktu," katanya.
Namun, kemusykilan timbul apabila Zaf mendakwa melalui maklumat diterima, Fakriz diserap sebagai ahli baharu VE tanpa persetujuannya.
"Saya tertanya-tanya kenapa VE dan syarikat pengurusan tidak berbincang terlebih dahulu dengan saya?" katanya.
Ditanya apakah dia menghubungi teman-temannya itu untuk mendapatkan kepastian, Zaf berkata, mereka sepatutnya menjelaskan apa yang berlaku kepada dirinya terlebih dahulu.
Zaf mendakwa sebelum ini dia dihalang salah seorang anggota kumpulan itu daripada mencampuri urusan VE dalam GV9 kerana tidak menyertai pertandingan itu.
"Sebelum GV9 bermula, saya dapat tahu mereka buka kumpulan WhatsApp baharu. Ketika itu, salah seorang anggota VE beri amaran agar tidak mencampuri urusan mereka," katanya.
Zaf berkata, sebagai ketua kumpulan, dia berhak ambil tahu perkembangan VE.
"Takkanlah hanya disebabkan teguran saya yang meminta mereka berlatih sebagai persediaan sebelum sertai GV9 menyebabkan mereka sentap?
"Bagi saya, tindakan mewujudkan kumpulan WhatsApp baharu tidak wajar. Jika ada yang tidak puas hati, kita sepatutnya berbincang menjernihkan keadaan.
"Bukannya mewujudkan kumpulan WhatsApp baharu dan secara tidak langsung menyingkirkan saya," katanya yang mahu menyelesaikan kemelut itu secara baik dan menjaga silaturahim sesama anggota VE.
Pada GV9, VE menduduki tempat kelima dan membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM15,000. GV9 mengangkat Jaclyn Victor sebagai juara.