TANJUNG MALIM : Impian pelakon, Arja Lee memiliki ijazah sarjana tercapai selepas muncul seorang daripada 6,067 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, 39, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) dengan tesis berjudul Mari Bermain Congkak : Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy.
Arja Lee berkata, kejayaan yang dikecapi ini adalah bagi menunaikan impian dan hadiah kedua arwah ibu bapanya, Allahyarham Ramli Uteh dan Allahyarham Salmah Aziz.
Arja reda dengan ketentuan Tuhan kerana sepatutnya kedua arwah bersamanya ketika meraikan kejayaan. Namun, Arja bersyukur ditemani ahli keluarga.
"Saya gembira pengorbanan dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara serta pensyarah tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bahru, Kelantan.
"Kejayaan saya memberi mesej yang jelas bahawa selebriti sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan dan boleh menjadi contoh masyarakat," katanya.
Majlis penyampaikan anugerah disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sempena majlis istiadat berkenaan, baginda yang juga Canselor UPSI turut berkenaan menyampaikan anugerah ijazah kepada 586 graduan.
Turut hadir, Pro Canselor, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Arja Lee berkata, sebelum bermastautin di Kota Bharu, dia yang menetap di Kuala Lumpur terpaksa berulang alik ke UPSI kira-kira enam kali seminggu bagi meneruskan pengajian.
Katanya, semua perbelanjaan dan kos menyambung pengajian adalah tanggungan sendiri serta tidak ditaja mana-mana pihak.
"Saya berharap kejayaan saya hari ini boleh memberi motivasi kepada rakan seperjuangan dalam dunia hiburan tanah air dan pelajar di universiti ini.
"Saya juga gembira kerana ada yang menjadikan saya sebagai contoh dan berharap mampu menjadi ikutan dan dorongan kepada golongan muda atau rakan seperjuangan untuk menyambung pengajian di UPSI," katanya. - HM Online