KUALA LUMPUR : 'Licin' disapu peminat, penganjur Konsert Padi Reborn 25 Years di Zepp Kuala Lumpur, malam ini, berjanji menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada anak-anak asnaf.
Pengarah Qew Communications, Datin Rahizahwati Yahya berkata, niat murni itu tercetus selepas melihat sambutan hangat peminat terhadap konsert berkenaan yang turut menampilkan bintang undangan, Datuk Sheila Majid.
"Kami ingin berkongsi berita baik iaitu tiket untuk menyaksikan konsert Padi Reborn, habis terjual.
"Justeru kami berhasrat mendermakan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada persatuan kanak-kanak asnaf.
"Bagi setiap pembelian tiket, RM1 akan disumbangkan kepada persatuan yang memayungi anak-anak asnaf," katanya pada sidang media Padi Reborn 25 Years di sini, semalam.
Sementara itu, vokalis kumpulan Padi, Fadly terharu konsert itu menjadi platform untuk beramal dan menghiburkan peminat di Malaysia.
Fadly meluahkan keterujaan untuk melepaskan rindu bersama peminat selepas kali terakhir mementaskan konsert di sini, pada 2018.
"Ketika pandemik COVID-19, kami 'berpuasa' daripada membuat persembahan. Jadi, sekarang, kami sangat teruja untuk beraksi.
"Kami akan menyanyikan lebih banyak lagu berbanding kedatangan kami kira-kira empat tahun lalu," katanya.