Khamis, 1 Disember 2022 | 2:47pm
Nora mewakili anaknya, Allahyarham Alif menerima diploma daripada UiTM. - Foto IG Nora Ariffin
Nora mewakili anaknya, Allahyarham Alif menerima diploma daripada UiTM. - Foto IG Nora Ariffin

Nora terima diploma arwah anak, sempat Alif habiskan...

KUALA LUMPUR: "Alif, this is for you (ini untuk awak). Mama tolong ambilkan ya. Alhamdulillah, congrats (tahniah)," kata penyanyi Datuk Nora Ariffin meluahkan perasaan terhadap kejayaan anaknya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan menerusi Instagram. 

Hantaran dibuat Nora berikutan kejayaan Alif menerima skrol diploma di Majlis Konvensyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-95 pada Selasa lalu yang diwakilinya.

"Keluarga kecil saya tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian anakanda Alif Johan, sempat habiskan Diploma sebelum kembali ke rahmatullah.

"Moga Alif tenang di sana. Terima kasih kepada semua tenaga pengajar UiTM FITA dan sahabat yang memberi sokongan pada Alif selama hayat dia.

"Terima kasih UiTM, moga legasi arwah dapat diteruskan. Al-Fatihah," tulisnya.

Perkongsian mengusik jiwa Nora ini mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya.

Malah, rata-rata mereka melahirkan perasaan sebak atas kejayaan itu serta menghadiahkan Al-Fatihah buat Alif. 

Terdahulu, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan, 20, juga anak kedua Nora, meninggal dunia dirumahnya di Petaling Jaya pada 14 Disember 2019.

Dua tahun sebelumnya, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema ini kehilangan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi pada 24 Mac 2017. 

Nora kini sudah berkahwin dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi yang juga sahabat baik arwah suaminya. - HM Online 

Berita Harian X