Khamis, 1 Disember 2022 | 1:27pm
Rose minta usah terus menghukum, sebaliknya beri peluang pelakon baharu bukti bakat. - Foto IG Sharifah Rose
Rose minta usah terus menghukum, sebaliknya beri peluang pelakon baharu bukti bakat. - Foto IG Sharifah Rose

Selesa jaja wajah?

KUALA LUMPUR: Seakan batu dibaling tepat ke arahnya apabila topik perdebatan ramai, antara rupa dan bakat menjadi polemik, baru-baru ini.

Apa tidaknya, pada awal kemunculan pelakon yang juga pemengaruh media sosial, Sharifah Rose, 24, terjun ke dunia lakonan,

istilah pelakon 'kayu' atau 'pokok' dilemparkan kepadanya.

Namun, kedudukan Sharifah Rose atau lebih mesra disapa Rose tidak goyah, sebaliknya terus menerima tawaran demi tawaran dalam menerajui watak utama selepas hampir dua tahun bergelar pelakon.

Ia sekali gus membuktikan Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira menepis persepsi ramai bahawa pempengaruh media sosial hanya menggunakan populariti, sedang bakat tidak seberapa.

Mula mencipta populariti menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Rose tidak menyangkal, rupa paras menjadi salah satu faktor diterima dalam industri seni.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna dirinya selesa menjaja wajah tanpa usaha memperbaiki mutu lakonan.

Usahlah terus menghukum pendatang baharu seperti apa yang dilaluinya, sebaliknya peluang harus diberikan kepada mereka yang ingin mencuba dalam bidang lakonan.

"Kritikan paling teruk diterima apabila dilabel pelakon kayu, sedangkan saya baru berlakon. Ia juga kemunculan pertama dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.

"Saya teruk dihentam dalam laman Twitter, jika rapuh dan tidak kuat mungkin saya tidak berada di sini lagi.

"Memang tidak nafi, saya memang kayu dan kaku pada awalnya kerana belum selesa membawakan watak utama.

"Bukan sekadar dihentam, malah ada anggap saya tidak layak menjadi pelakon. Tetapi, semua ini tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi pembakar untuk membuktikan persepsi dilemparkan tidak benar," katanya kepada BH Online.

Rose semakin selesa dengan kerjaya lakonan, meskipun ragu-ragu keputusan dibuat tepat pada awal kemunculan. - Foto IG Sharifah Rose
Rose semakin selesa dengan kerjaya lakonan, meskipun ragu-ragu keputusan dibuat tepat pada awal kemunculan. - Foto IG Sharifah Rose

Rose diundang sebagai ahli panel bagi membincangkan topik Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyemarakkan Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM 32) yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan.

Bekas graduan Ijazah Perniagaan (Pemasaran), UOW Malaysia Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) itu berkata, dia mengabaikan kritikan dilemparkan kerana rata-rata kecaman tidak berasas demi menjaga kesihatan mentalnya.

Kini, kata Rose, dia semakin selesa dengan kerjaya lakonan meskipun ragu-ragu adakah keputusan dibuat tepat pada awal kemunculannya.

Sungguhpun begitu, pelakon drama 3 Nota Cinta dan Do You Love Me, Captain? itu tetap tidak jemu belajar kerana masih banyak watak belum pernah dibawakan.

"Lakonan adalah satu proses pembelajaran. Selagi saya berada dalam industri, saya tidak akan berhenti belajar.

"Di awal kemunculan, saya mengikuti kelas lakonan dan banyak bertanya kepada pengarah dan rakan pelakon di lokasi penggambaran.

"Kalau pelakon lain berehat waktu senggang, saya pula akan menggunakan kesempatan untuk berbincang dengan pengarah.

Selain itu, saya turut meminta tip daripada pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Aznah Hamid ketika menjalani penggambaran drama 3 Nota Cinta.

"Hero drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Redza Rosli antara insan bertanggungjawab melembutkan pelakon kayu seperti saya. Jadi, saya berterima kasih dengan Redza.

"Saya bangga meskipun dilabel pelakon kayu, drama ini muncul trending hingga muncul dalam Buletin Utama dan disambung musim kedua," katanya.

Rose mulanya malu melihat lakonan sendiri, namun sedar cara paling bagus memperbaiki diri dengan melihat kesilapan. - Foto IG Sharifah Rose
Rose mulanya malu melihat lakonan sendiri, namun sedar cara paling bagus memperbaiki diri dengan melihat kesilapan. - Foto IG Sharifah Rose

Biarpun kian selesa, namun Rose tidak pernah berangan-angan menggenggam trofi pelakon terbaik. Andai menjadi kenyataan, itu adalah bonus dan rezeki.

Apa yang penting, kata Rose, dia hanya ingin menjadi pelakon terbaik dan mahu kemunculannya di kaca televisyen (TV) menimbulkan rasa senang di kalangan penonton.

"Setiap pelakon pasti ada angan-angan. Apa yang penting, penonton menerima drama lakonan sudah memadai.

"Selama ini, saya fikirkan lakonan adalah kerjaya mudah, tetapi apabila sudah melalui pengalaman sendiri barulah saya tahu sukar untuk menjadi orang lain.

"Saya perlu ketawa sedangkan tidak kelakar. Saya perlu wujudkan rasa cinta, sedangkan ia sekadar lakonan.

"Jadi, saya tidak mengharapkan sebarang trofi, cukuplah diterima. Ia adalah satu anugerah bermakna buat saya," katanya.

Berita Harian X