Khamis, 1 Disember 2022 | 12:44pm
Hawa berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah, namun bukan pada waktu yang terdekat. - Foto Hawa Rizwana
Hawa berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah, namun bukan pada waktu yang terdekat. - Foto Hawa Rizwana

Hawa korban kerjaya demi sarjana

KUALA LUMPUR: Terpaksa mengorbankan kerjaya dan hampir berputus asa mahu menamatkan pengajian antara cabaran terbesar dihadapi pengacara Hawa Rizwana Redzuan, 27, demi menggenggam segulung sarjana.

Ternyata segala pengorbanan dilakukan Hawa berbaloi apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95, Ahad lalu.

Dalam nada teruja, gadis kelahiran Illinois, Amerika Syarikat yang memiliki wajah seiras Neelofa itu menyifatkan kejayaan beroleh ijazah sarjana adalah detik paling membahagiakan dalam hidup.

"Alhamdulillah, saya lega apabila dapat menamatkan pengajian empat semester tepat pada masanya walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

"Tipulah kalau saya kata tak pernah berputus asa apabila berdepan pelbagai kekangan. Mujur pensyarah dan rakan sekuliah banyak membantu serta memberi sokongan.

"Saya adalah pelajar separuh masa dan kelas hanya tiga kali seminggu bermula jam 6 petang selama tiga jam. Ketika itu, saya sudah bergelar wartawan penyiaran.

"Bagaimanapun, saya nekad berhenti kerja dan fokus pada pengajian disebabkan tugasan banyak pada waktu malam, itupun selepas berfikir panjang. Saya juga tidak mahu menyusahkan rakan setugas lain.

"Saya bersyukur pengorbanan dilakukan berbaloi dengan mendapat keputusan cemerlang," katanya kepada BH Online.

Hawa menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95, Ahad lalu. - Foto Hawa Rizwana
Hawa menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95, Ahad lalu. - Foto Hawa Rizwana

Mengulas keputusan menyambung pengajian pada peringkat sarjana walaupun sudah mempunyai kerjaya tetap, pengacara program MeleTop ini berkata, apa yang dilakukan sebagai jaminan masa depan.

"Niat asal hendak sambung pengajian ke peringkat sarjana kerana mahu menjadi pensyarah. Manalah tahu ada rezeki dalam bidang ini.

"Lagipun, ibu bapa sangat menggalakkan untuk saya menyambung pengajian, memandangkan saya tidak mempunyai komitmen lain dan masih bujang.

"Namun mereka tidak sampai memaksa saya. Semuanya dilakukan atas minat dan kerelaan sendiri.

"Bagaimanapun, rezeki ke arah pengacaraan hadir tanpa disangka. Walaupun hilang kerja, Tuhan beri rezeki lain dengan menjadi pengacara Wanita Hari Ini dan Hello Doktor," cerita Hawa.

Ditanya apakah bakal menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), bekas penyampai berita itu berkata, keinginan ada, namun bukan pada waktu terdekat.

"Hasrat menyambung pengajian tetap ada, tetapi buat masa ini biar saya fokus kepada kerjaya pengacaraan. Mungkin apabila keadaan sudah stabil, baru saya memikirkannya," ujarnya.

Mengenai kisah kejayaannya yang mampu memberi inspirasi, gadis kacukan Arab, Siam dan Aceh itu meluahkan rasa terharu dengan penghargaan diberikan.

"Saya sambung belajar kerana minat. Bukan saya sahaja, ramai lagi selebriti berjaya menggenggam ijazah sarjana. Antaranya, Vanidah Imran dan Sufian Suhaimi.

"Malah, ada ramai selebriti masih menyambung pengajiannya seperti Intan Najuwa. Tak semestinya kalau sambung belajar, kita adalah terbaik.

"Bagi saya, kalau seseorang selebriti dapat berbuat sesuatu memuaskan hati, itu juga satu kejayaan," kata anak kepada bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman itu.

Berita Harian X